Realiti para graduan pasca COVID-19

Pendidikan Hanita Hassan
Hanita Hassan
Realiti para graduan pasca COVID-19
Realiti para graduan pasca COVID-19 © Tramontina1 | Dreamstime.com

Setiap daripada kita pastinya mempunyai impian untuk membina kerjaya yang baik dalam hidup.  Bagi graduan, sejak diterima memasuki menara gading, anda sudah bulat tekad untuk mengejar cita-cita.

Sekiranya anda dipilih mengikuti kursus kedoktoran, maka kerjaya sebagai doktor sudah pasti dalam gengaman.  Namun bagaimana pula dengan bidang-bidang seperti perniagaan, perbankan, pengurusan, pelancongan, undang-undang, sejarah, sastera, bahasa, komunikasi, kulinari dan sebagainya.

Setiap pemilihan kursus yang anda ikuti akan menentukan kerjaya pada masa hadapan.  Ia adalah pemahaman biasa bagi kebanyakan graduan mahupun ibu bapa graduan.

Realiti para graduan pasca COVID-19

Dahulu jika anda adalah lulusan dalam ijazah perbankan atau perniagaan, peluang kerjaya adalah di bank perdagangan. Jika menceburi bidang komunikasi atau kewartawanan, anda pasti akan bekerja di syarikat akhbar atau penyiaran terkemuka di negara ini.  Begitu juga dengan kurus-kursus lain.

Namun, sejak awal tahun 2020, penularan pandemik wabak COVID-19 telah merubah struktur dan perancangan.  Banyak sektor perniagaan dan organisasi berjenama besar yang terpaksa mengecilkan organisasi dan mengurangkan pekerja. Tidak kurang juga yang menutup  premis masing-masing.

Tugas anda untuk mendapatkan segulung sijil, diploma atau ijazah sudah selesai.  Penat lelah anda bergelut dengan peperiksaan, tugasan dan aktiviti di kampus dapat dilalui dengan jayanya.

Ada kalangan anda yang setiap semester mendapat kepujian dekan.  Sudah pasti anda yakin dengan mudah boleh mendapat peluang kerja dengan keputusan peperiksaan  cemerlang ini.  Namun seperti kata Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, ‘Ku sangka panas sampai ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari’.

Realiti COVID-19 yang melanda negara dan seluruh dunia membataskan peluang kerjaya graduan.  Ia adalah hakikat yang tidak dapat ditolak. Peluang membina kerjaya dengan bekerja makan gaji perlu dipadam daripada kotak fikiran.

Ketiadaan peluang kerjaya semasa COVID-19 ini telah mencetus kadar pengangguran global, ini termasuk di Malaysia. Banyak borang permohonan kerja dihantar, banyak sesi temu duga dihadiri, namun tiada satu pun yang kembali dengan jawapan yang positif.

Perbanyak dan pelbagaikan usaha, jangan putus asa

Kebanyakan majikan mencari pekerja yang berpengalaman.  Peluang untuk graduan menggilap bakat tidak kesampaian. Data 2018 menunjukkan 60% graduan peringkat pengajian ijazah pertama dan ke atas masih menganggur selepas setahun menamatkan pengajian.   Bilangan graduan yang belum bekerja adalah 30,765 orang atau 59.9% daripada 51,365 graduan yang belum bekerja.

Graduan boleh mencuba bidang-bidang lain.  Pelayan di restoran makanan segera, pemandu e-hailing seperti Grab dan bekerja dengan syarikat penghantar makanan. Anda juga boleh memulakan perniagaan secara atas talian yang tidak memerlukan modal.

Sekiranya anda mempunyai tanah di kawasan rumah, anda boleh memulakan aktiviti pertanian kecil-kecilan sebagai persediaan dan menimba pengalaman menjadi petani moden. Bagi graduan kulinari, anda boleh menjual produk makanan dalam talian.

Sesungguhnya usaha adalah tangga kepada kejayaan.  Sebagai seorang muslim, kita hendaklah percaya bahawa Allah SWT sentiasa ada bersama kita. Allah sahaja yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya.

Maka perbanyakkan berdoa kerana doa itu senjata bagi orang yang beriman. Doa adalah simbol keakraban anda dengan Maha Pencipta. Selain terus bersabar dan tidak berputus asa.

Sepertimana firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Jangan kamu berputus asa dalam mencari nikmat dan rahmat Allah kerana hanya orang kafir sahajalah yang akan berputus asa daripada rahmat Allah.”

(Surah Yusuf, ayat 87)

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.