Rebut Peluang Menunaikan Solat Sunat Aidilfitri

Setiap kali menjelangnya 1 Syawal, pasti ramai umat Islam di seluruh dunia tidak mahu melepaskan peluang untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri atau sembahyang raya.

Takbir raya yang berkumandang pasti mengundang perasaan syahdu lantas menjentik hati sanubari setiap yang bergelar Muslim untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid.

Rasulullah S.A.W tidak pernah meninggalkan peluang untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri semenjak ia mula disyariatkan sehinggalah Baginda wafat.

Solat sunat Aidilfitri adalah solat sunat dua rakaat di mana pada rakaat pertama disunatkan untuk bertakbir sebanyak tujuh kali manakala rakaat kedua pula lima kali.

Hukum menunaikan solat sunat Aidilfitri adalah sunat Muakkaf (iaitu sangat digalakkan) namun tidak wajib.

Berbeza dengan solat Jumaat, khutbah solat sunat Aidilfitri dilakukan selepas selesai menunaikan solat. Disunatkan untuk khatib memulakan khutbah dengan takbir sebanyak sembilan kali dan tujuh kali pada khutbah kedua.

Solat sunat Aidilfitri dilakukan antara waktu setelah terbit matahari sehingga sebelum tergelincir matahari. Ia disyari’atkan berjamaah kepada semua mukallaf sama ada lelaki, perempuan, bermukim, musafir, orang bebas atau hamba, sama ada di surau, masjid ataupun di kawasan lapang dan terbuka.

Adalah lebih afdal, jika dilakukan secara berjemaah dan sesudahnya dibacakan dua Khutbah. Walau bagaimana pun, ia boleh dilakukan secara bersendirian.

Solat sunat Aidilfitri hendaklah dilambatkan sedikit, sedangkan solat hari raya korban perlu disegerakan. Melewatkan solat Aidilfitri bertujuan memberi masa bagi sesiapa belum mengeluarkan zakat fitrah. Zakat fitrah wajib dikeluarkan sebelum menunaikan solat Aidilfitri.

Kebiasaannya solat sunat Aidilfitri dilakukan pada jam 8.30 pagi. Dimulakan dengan takbir raya seawal jam 7 pagi.

Sebelum pergi menunaikan solat sunat Aidilfitri, adalah disunatkan untuk kita mandi sunat Aidilfitri serta menjamah makanan sebelum keluar pergi ke masjid.

Semoga tahun ini kita semua berkesempatan untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri sambil  mengeratkan hubungan silaturahim sesama Islam dalam mencari Redha Ilahi.

Foto : www.picswe.com