Rehat atau malas? Cari rehat yang berkat

Kesihatan Fizikal 18 Jan 2021 Hagnas
Hagnas
Rehat atau malas? Cari rehat yang berkat
Rehat atau malas? Cari rehat yang berkat © Airdone | Dreamstime.com

Kita manusia semuanya tidak sempurna. Tenaga yang Allah SWT kurniakan kepada kita terbatas. Kita perlukan masa untuk rehat. Bahkan rehat bagi manusia sesuatu yang sungguh dinanti-nantikan. Rehat atau malas itu usah dikelirukan. Rehat yang berkat itu yang harus dicari.

Manusia merupakan makhluk istimewa yang Allah SWT ciptakan di dunia. Dengan akal yang bijaksana, tubuh badan yang mempesona, petah pula bertutur kata, tidak hairanlah manusia telah diamanahkan oleh Allah dengan tugas yang besar untuk beribadah kepada-Nya dan mentadbir dunia melalui jalan gang diredai-Nya.

Walaupun banyak kelebihan yang Allah SWT berikan kepada kita, tentunya tiada antara kita semua yang berani mendabik dada bahawa kita ini makhluk yang tiada cacat cela. Tidak sama sekali.

Rehat atau malas? Cari rehat yang berkat

Walaupun antara kelemahan manusia itu kepenatan yang memerlukan kerehatan, Allah SWT turut menjadikan berehat ini suatu kenikmatan. Subhanallah. Benar sekali kerehatan itu suatu kenikmatan. Bahkan suatu keberkatan yang melahirkan banyak kebaikan yang lain, sekiranya rehat ini tidak disalah erti.

Tujuan berehat itu tentulah untuk kebaikan manusia, yang serba lemah ini. Manusia berhajat kepada rehat agar dapat menenangkan fikiran, mengumpul kembali kekuatan, untuk meneruskan lagi amal-amal kebaikan sejurus selepas berehat.

Antara bentuk rehat yang baik untuk kita ialah dengan berzikir mengingati Allah SWT, sebagaimana firman-Nya dalam al-Quran, ayat 28 dari Surah ar-Ra’d:

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

Rehat bukan alasan bermalasan

Kerehatan tidak seharusnya mengurangkan tenaga dan semangat kita untuk melakukan dan menambahkan kebaikan. Tetapi dengan berehat, ia akan menguatkan fikiran kita, menenangkan hati kita serta menambahkan tenaga kita untuk kembali bangkit meneruskan kerja atau amal bermanfaat.

Justeru, berehatlah dengan mengingati Allah SWT. Berehatlah dengan bersolat kepada-Nya. Bukanlah berehat itu duduk bersahaja tanpa melakukan perkara bermanfaat.

Jika badan kita benar-benar kepenatan, maka tidurlah dengan niat dan doa kepada Allah SWT. Maka tidur itu akan membawa manfaat besar buat kita di dunia dan di akhirat.

Jadi, jangan duduk saja-saja. Tak perlu dilayan kisah-kisah lama hingga lena kita dibuatnya, makin tidak bermaya. Ingat ya, rehat menambah tenaga, bukan menambah lena. Rehat bukan untuk bermalasan sahaja.