Rejab – buka kunci keberkatan Ramadan sekarang!

Acara Adea Ghafar
Terkini
Rejab - buka kunci keberkatan Ramadan sekarang!
Rejab - buka kunci keberkatan Ramadan sekarang! © Alena Stalmashonak | Dreamstime.com

Dengan Ramadan semakin hampir, cara apa yang lebih baik untuk memulakan persiapan tetamu istimewa ini dengan menyambut rakannya, Rejab?

Seperti perkara-perkara penting lain dalam kehidupan seperti berpindah rumah, perkahwinan, bahkan persiapan bermain bola sepak, langkah-langkah bersiap sedia adalah sangat penting.

Buka kunci keberkatan Ramadan sekarang

Inilah cara yang baik untuk memulakannya sekarang, dalam bulan Rejab yang kini telah sampai dipertengahan bulan. Begitu hebat bulan ini, ia adalah yang pertama dari empat bulan suci, seperti difirmankan Allah SWT dalam al-Quran:

“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati.”

(Surah at-Taubah, 9:36)

Empat bulan yang dihormati ini ialah Rejab, Zul Kaedah, Zul Hijjah dan Muharam. Satu sebab keistimewaannya adalah di masa awal Islam, pertempuran di bulan-bulan ini adalah dilarang.

Walaupun tiada hadis sahih dari Rasulullah SAW mengenai amalan tertentu dalam bulan Rejab, para ulama masa lalu memberikan perhatian khusus kepadanya dengan meningkatkan aktiviti ibadah mereka.

Tidak ada salahnya berpuasa pada bulan-bulan ini selama ini tidak dilakukan sepenuhnya, supaya ada perbezaan antara Rejab dan Ramadan.

Rejab dan Syaaban adalah pendahulu Ramadan. Dan kedua bulan ini, jika digunakan dengan bijak, akan membantu kita untuk lebih mengenali salah satu perkara penting tahun ini, iaitu Ramadan.

Seorang tokoh sufi, Abu Bakar al-Warraq mengatakan:

“Bulan Rejab adalah bulan menanam, bulan Syaaban adalah bulan mengairi tanaman, dan bulan Ramadan adalah bulan menuai tanaman.”

Bulan Rejab dapat membantu jiwa kita

Sebagai mempersiapkan diri untuk Ramadan, sebaiknya kita menghayati Ramadan tanpa mengeluh tentang hari-hari yang terasa panjang dan malam-malam tanpa tidur yang cukup.

Realiti berpuasa bukanlah kurang makanan dan minuman kerana ini namanya puasa perut. Sebaliknya, yang diharuskan adalah memperoleh takwa. Ini bermakna tidak mencampurkan dosa dengan perbuatan dan amalan baik kerana ia boleh mencemarkan seluruh ibadah kita.

Bukan secara kebetulan bahawa Rejab datang dua bulan sebelum Ramadan. Syaaban iaitu bulan sebelum Ramadan membantu menyiapkan diri, juga tubuh kita.

Syaaban adalah bulan di mana Nabi Muhammad SAW berpuasa paling banyak, selepas Ramadan. Tetapi bulan Rejab dapat membantu jiwa kita.

Oleh itu, marilah kita berpuasa sekurang-kurangnya pada hari Isnin dan Khamis, dan cuba mengelakkan dosa di waktu siang. Biarkan dua hari ini kita tidak membuang waktu dengan menonton televisyen, menjaga pandangan dan juga lidah kita dari berbohong dan menfitnah.

Sebaliknya, banyakkan membaca al-Quran, berzikir dan berdoa kepada Allah Taala. Dan pastinya, bertaubatlah jika kita telah berbuat dosa. Sesungguhnya, bulan Rejab adalah kunci yang membuka bulan-bulan kebaikan dan barakah yang datang bersamanya.

Oleh itu, janganlah kita memperlakukan bulan ini seperti bulan-bulan biasa. Berusahalah untuk memanfaatkan Rejab, dan untuk Ramadan tahun ini, cubalah berbuat yang terbaik.