Rekaan Pesawat Khas ‘Asean Lestari’ AirAsia

Sebagai usaha untuk terus mempromosikan pelancongan di rantau ASEAN, AirAsia memperkenalkan rekaan pesawat terbaharu pada pesawat Airbus A320 yang dinamakan ‘Asean Lestari’ dalam satu acara sambutan Hari ASEAN di Bangkok, Thailand.

Selain logo Pengerusi ASEAN, rekaan istimewa pesawat itu turut memaparkan ikon-ikon pelancongan di rantau ini.

Usaha tersebut adalah untuk menyokong kerjasama lestari antara AirAsia dan negara-negara ASEAN serta misi syarikat penerbangan tersebut untuk mencipta sebuah jenama ASEAN yang dikenali di peringkat global.

“Sebagai sebuah syarikat yang benar-benar ASEAN, AirAsia teruja untuk memaparkan keistimewaan rantau ini di pesawat kami, dan meneruskan komitmen kami dalam membangunkan pelancongan lestari.

“Kami berharap rekaan pesawat istimewa ini dapat menarik perhatian orang ramai, yang kemudiannya dapat menguar-uarkan mengenai kelebihan dan impak pelancongan lestari kepada lebih daripada 650 juta penduduk di ASEAN,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes.

Pesawat Airbus A320 dengan nombor pendaftaran 9M-AJW tersebut akan berpangkalan di Malaysia, yang mana ia akan terbang ke lebih 50 destinasi di ASEAN dari Kuala Lumpur.

AirAsia juga akan melancarkan rekaan pesawat yang sama pada pesawat Airbus A320 yang akan berpangkalan di Bangkok pada tahun ini.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Thailand selaku Pengerusi ASEAN 2019.

“Kami berharap untuk terus bekerjasama bagi membangunkan integrasi yang lebih baik dalam pelbagai inisiatif seperti pelancongan lestari,” tambah Tony.

AirAsia terus memperjuangkan integrasi ASEAN melalui sokongan berterusan dalam Dasar Langit Terbuka ASEAN atau pasaran penerbangan tunggal.

Dasar itu bertujuan untuk meningkatkan kesalinghubungan serantau dan domestik, selain meningkatkan peluang perniagaan di rantau ASEAN menerusi pembukaan perjalanan udara di bawah pasaran pengangkutan udara tunggal.

Antara usaha-usaha lestari AirAsia yang lain termasuklah mendidik para tetamu mengenai pelancongan lestari, mengumpul dan memisahkan barang-barang kitar semula, mengurangkan kesan karbon dan sisa, membangunkan inisiatif pelancongan berasaskan komuniti seperti JourneyD serta menggalakkan inisiatif perusahaan sosial di seluruh ASEAN melalui Yayasan AirAsia.

Untuk aktiviti terkini dan promosi AirAsia, sila ikuti AirAsia di:

Twitter (twitter.com/AirAsia),

Facebook (facebook.com/AirAsia)

Instagram (instagram.com/AirAsia)

Foto: AirAsia