Rekaan Sopan ‘Fenty by Rihanna’ Sesuai Untuk Muslimah

Selepas mengecapi kejayaan dengan rangkaian kosmetik, bintang terkenal dunia, Rihanna baru-baru ini telah melancarkan koleksi pakaiannya di bawah jenama Fenty hasil kolaborasi bersama syarikat mega LVMH.

Rihanna adalah wanita pertama dan wanita kulit hitam pertama yang berjaya menembus pasaran rumah fesyen LVMH sebagai CEO dan juga pengarah kreatif.

Apa yang menariknya tentang koleksi sulung Fenty ini, ia direka mengikut citarasa Rihanna serta gaya peribadinya. Disebabkan Rihanna tidak memiliki badan bersaiz sampel, jadi rekaannya sesuai digunakan untuk wanita yang bertubuh berisi.

Penggunaan material seperti denim Jepun tebal dan kanvas kapas adalah senjata utama untuk ‘look’ koleksi ini. Ia memberikan ilusi lebih berstruktur dan bervolum sekaligus menampakkan si pemakai kelihatan sungguh ‘stylish’. Siluetnya pula direka untuk menyerlahkan setiap lengkungan tubuh.





Menariknya tentang koleksi ini, tidak semuanya direka dengan potongan yang menjolok mata. Jadi para Muslimah di luar sana masih mampu memiliki koleksi ini tanpa perlu bimbang tentang aurat yang terdedah. Pilih sahaja mana-mana rekaan yang sopan dan padankan dengan hijab anda! Nah anda juga mampu kelihatan ‘Super Stylish’ bak ikon fesyen.

Buat masa ini butik Fenty hanya terdapat di Paris tetapi  akan dibuka di New York tidak lama lagi. Tetapi jangan risau, anda tidak perlu terbang jauh ke Amerika dan Eropah untuk mendapatkan koleksi ini kerana ia boleh dibeli secara atas talian di Fenty.Com

 

Sumber : Fenty