Persekitaran Web Patuh Muslim.. Ketahuiselanjutnya

Resepi Kejayaan Dato’ Fazley Yaakob

Wajah Salam Shah Shamshiri 11-Nov-2019

Wajah Salam minggu ini sememangnya bukanlah satu nama asing dalam industri hiburan Malaysia. Mungkin ada di kalangan generasi kini yang baru sahaja mengenalinya beberapa tahun lalu, dan pasti ramai juga yang tahu akan sinar bintangnya sejak pertengahan tahun 90-an lagi.

Ahmad Fadzli bin Yaakob yang lebih dikenali sebagai Dato’ Fazley Yaakob merupakan seorang penyanyi yang mula menceburi bidang nyanyian sejak umurnya belasan tahun lagi. Pernah muncul dengan album studio sejak di bangku sekolah menengah, dan sempat juga aktif dalam bidang lakonan, dirinya kemudian mencuri perhatian rakyat Malaysia selepas menjuarai rancangan masakan realiti, MasterChef Selebriti Malaysia. Dia juga terkenal sebagai seorang ahli motivasi berkat kehebatannya semasa zaman persekolahan. (Dato Fazley mendapat 8A dalam peperikasaan Sijil Pelajaran Malaysia – SPM dengan 7A1 dan 1 A2 pada tahun 1995)

Sejak kemenangan dalam rancangan realiti tersebut, hidupnya berubah dengan peralihan kerjaya yang tidak disangka-sangka. Dari seorang bintang nyanyian dan lakonan, dia kemudian mendapat gelaran cef selebriti.

“Sebenarnya ada mentor saya yang tidak setuju jika saya digelar cef selebriti, kerana saya benar-benar melalui proses untuk belajar memasak demi bergelar cef. Jadi saya sebenarnya seorang cef atau tukang masak yang kemudian menjadi selebriti,” jelas Fazley kala ditanya tentang gelaran tersebut yang diberikan media massa kepadanya.

Kini Fazley merupakan seorang cef atau tukang masak yang disegani. Selain sibuk dengan restorannya sendiri iaitu SukaSucre Bistro, dia juga kerap membuat demonstrasi masakan di acara-cara ternama di Malaysia dan juga di seluruh dunia.

Ayah kepada empat orang cahaya mata ini juga menonjol sebagai seorang usahawan yang tidak jemu-jemu mengembangkan cabang perniagaan lewat peluang-peluang yang datang padanya. Ya, boleh dikatakan jenama ‘Dato Fazley Yaakob’ kini merupakan satu jenama yang agak kukuh dan gah dalam industri penyediaan makanan di samping industri hiburan tempatan.

Namun, kesemua pencapaian ini tidak timbul begitu sahaja. Banyak onak dan duri serta halangan yang terpaksa beliau rintangi demi mengecapi kejayaan yang sedia ada.

 

Cabaran Untuk Mencapai Kejayaan

“Ramai beranggapan bahawa sepanjang hayat saya, saya hidup dalam kemewahan namun sebenarnya mereka tidak tahu, saya sendiri dididik oleh arwah ayah saya dengan cara yang berbeza. Saya diajar erti kesusahan dan konsep bekerja keras jika mahukan sesuatu. Ini kerana arwah ayah saya ada 12 orang adik beradik, dan dia terpaksa membantu menyara mereka semua, jadi pada akhirnya jumlah wang yang ada untuk keluarga sendiri tidaklah sebanyak yang orang sangkakan.

Sebagai contoh, selepas tamat peperiksaan SPM, saya melanjutkan pelajaran ke New Zealand, namun saya berusaha keras untuk mendapatkan biasiswa supaya saya tidak perlu menyusahkan ibubapa saya. Walau bagaimanapun, biasiswa yang diberikan tidak mencukupi untuk menampung seluruh kos kehidupan saya sebagai pelajar asing di Wellington ketika itu. Jadi saya terpaksa bekerja secara sambilan.

Saya tidak memberitahu ibu saya tika itu yang saya bekerja secara sambilan di sebuah restoran sebagai pencuci tandas. Ya, pasti ramai yang tidak tahu. Di hari pertama saya bekerja, saya diberikan sepasang sarung tangan getah dan sebatang mop dan baldi untuk bekerja. Semasa memohon pekerjaan tersebut, saya fikir saya dapat jawatan pelayan, rupa-rupanya lain jadinya. Apakan daya, demi meneruskan pengajian saya lakukannya.

Dan jangan terkejut, oleh kerana saya bekerja di restoran yang sering dikunjungi orang yang bukan beragama Islam, ramai juga yang mabuk di hujung minggu dan tidak sedar semasa menggunakan mangkuk tandas. Hinggakan saya terpaksa mengangkat sendiri najis manusia dengan sarung tangan dan membersihkannya!” ujar Fazley panjang lebar tentang pengalaman yang pernah dilaluinya.

Sungguhpun begitu, beliau sedar bahawa kesemua pengalaman tersebut banyak mengajarnya tentang erti kehidupan dan lebih menghargai pekerjaan serta tanggungjawab manusia seharian.

Malah amalan tersebut juga diterapkan kepada anak-anaknya supaya tahu erti kesusahan.

 

Mendidik Anak-Anak

“Saya mahu anak-anak saya tahu bahawa jika mereka mahukan sesuatu, mereka perlu bekerja keras dan bukan semuanya dapat mereka perolehi dengan mudah dalam hidup,” tambahnya lagi.

Baru-baru ini ,anak sulungnya juga berjaya membeli hadiah hari jadinya sendiri dengan menjual nasi lemak yang dimasaknya sendiri! Nasi lemak yang dijual sebanyak 200 bungkus untuk beberapa hujung minggu ini berjaya mengumpulkan wang yang diperlukan untuk membeli set permainan PlayStation 4 yang diidamkan.

“Anak sulung saya berumur 11 tahun, dan semasa meminta hadiah harijadi daripada saya, dia kata dia tahu saya sedang mengumpulkan wang untuk keluarga saya, jadi dia meminta cadangan bagaimana dia boleh membeli hadiahnya sendiri, jadi di situlah lahirnya idea untuk dia membuat dan menjual nasi lemak sendiri yang saya bantu edarkan sampai ke Putrajaya!” katanya lagi.

 

Mudah Didekati dan Mesra Peminat

Selain berperanan sebagai seorang ayah dan suami, Fazley juga seorang yang sangat pemurah dan mesra peminat. Malah baru-baru ini beliau sempat membuat kejutan khas untuk seorang penunggang penghantar makanan yang sering menghantar makanan ke rumahnya.

“Penunggang tersebut dengan ikhlas dan jujur memberitahu saya yang dia ingin bergambar dengan saya kerana dia seorang peminat. Tetapi oleh kerana mereka yang bekerja dengan syarikat penghantaran makanan tidak dibenarkan mengambil gambar dengan pelanggan yang mereka temui, dia tidak mempunyai kesempatan tersebut.

Namun saya dapat rasakan keikhlasan yang dia pamerkan, dan saya hargai usaha mereka yang melakukan kerja penghantaran makanan ini demi menambahkan pendapatan masing-masing. Jadi saya hubungi sendiri syarikat perkhidmatan penghantaran tersebut dan memberitahu yang saya ingin memberikan dia satu kejutan istimewa dengan membuat kek untuk hari jadinya. Lantas, impian penunggang tersebut untuk bergambar dengan saya tercapai dan saya jadikan ia hadiah hari jadinya.

Saya gembira bila dapat menyenangkan hati orang lain. Kadang-kadang bukannya susah sangat pun, ia cuma perlukan sedikit usaha. Saya mahu memberitahu kepada orang yang rajin berusaha bahawa segala penat-lelah mereka dihargai.

Sebab itu saya suka berkunjung ke aneka gerai di tepi jalan dan mencuba sendiri makanan yang mereka jual. Kalau sedap saya kongsi di media sosial saya dan puji dengan ikhlas. Saya ingin memberi semula apa yang saya dapat dengan cara ini. Ada banyak juga tempat makan dan restoran yang mahu membayar saya supaya mencuba makanan mereka, tetapi saya tidak mahu. Saya mahu lakukannya dengan ikhlas. Sekurang-kurangnya saya dapat menolong orang dengan cara ini,” cerita Fazley lagi.

 

Kerjaya Seni dan Nyanyian

Dan dalam kesibukan mengembangkan perniagaan serta kedudukannya di arena penyediaan makanan serta seni kulinari, dia masih belum lupakan kerjayanya dalam bidang muzik.

“Sejujurnya, pada saya kerjaya saya sekarang adalah bidang masakan dan nyanyian pula adalah minat saya dari dulu. Sebenarnya saya pernah berfikir untuk berhenti terus daripada dunia nyanyian, tetapi ibu saya sering berpesan supaya tidak melupakan pesan arwah ayah saya. Arwah ayah saya pernah memberitahu dia tidak mahu saya berhenti menyanyi. Dia mahu saya teruskan. Jadi saya tidak meninggalkan dunia nyanyian secara menyeluruh. Malah, saya bakal muncul dengan bahan baru tidak lama lagi. Saya sudah ada lima buah lagu hasil ciptaan seniman Indonesia dan bila waktunya sudah tiba, saya akan umumkan pelancarannya,” kata Fazley.

 

Perkembangan Terbaru

Selain itu Fazley juga kini akan berada lebih kerap di hotel Four Seasons Kuala Lumpur untuk menyambung kontraknya sebagai cef jemputan. Beliau juga akan menyediakan lebih banyak menu ciptaannya untuk tetamu penting hotel tersebut. SukaSucre Bistro miliknya juga akan membuka cawangan baru di Hartamas tidak lama lagi.  Jelas terbukti, kerjaya masakannya benar-benar membuka ajnas peluang baru buatnya dalam bidang ini.

 

Kolaborasi Dengan Syarikat Indonesia

Selain kolaborasi bersama pihak di Indonesia di bidang nyanyian beliau juga berkolaborasi dengan beberapa pihak di bidang masakan. Fazley bakal menjadi cef jemputan di sebuah hotel enam bintang di Indonesia dan dua buah hotel lain di Taiwan. Malah Fazley memberitahu dia juga bakal melancarkan jenama baru masakan Minang bersama sebuah pihak di Indonesia. Masakan tersebut akan dijual di beberapa cawangan di Indonesia dan juga di Malaysia.

“Ini semua termasuk dalam perancangan kerjaya saya secara menyeluruh. Ia meliputi segala aspek dalam mengembangkan jenama Fazley Yaakob ke rantau ini. Dan Indonesia termasuk dalam perancangan ini. Lagipun leluhur saya memang berasal dari Bukit Tinggi di Padang, jadi tidak hairanlah jika saya memperkenalkan sebuah jenama masakan baru berasaskan makanan Minang,” tambah Fazley yang mempunyai darah Negeri Sembilan dari sebelah ibunya.

Dan ini hanyalah sedikit sahaja usaha yang beliau lakukan demi mengembangkan kerjayanya. Masih ada banyak lagi perancangan jejaka berbakat besar ini demi memberikan yang terbaik kepada masyarakat. Kami mendoakan semoga Dato Fazley Yaakob terus berjaya dan dimurahkan rezeki di dunia dan akhirat. Insyaa Allah.

 

Di Sebalik Wajah Salam

  • Wajah Salam : Dato’ Fazley Yaakob
  • Gambar : Bustamam Mokhtar, White Studio
  • Penyelaras & Pengurus Projek : Shah Shamshiri
  • Teks (Bahasa Melayu) : Shah Shamshiri
  • Suntingan : Ili Farhana
  • Pereka Grafik : Asyraf Tamam
  • Penata Gaya : Faizal Harun Nasution
  • Konsep & Arahan Seni : Faizal Harun Nasution
  • Jurusolek : Bobo Cinta
  • Busana :
  • Gaya pertama:
  • Semua dari Neonate
  • Gaya kedua:
  • Semua dari Neonate
  • Gaya ketiga:
  • Set sut & kemeja: LORD’s Tailor
  • Topi & bengkung: Milik Penata Gaya