Resepi Sup Tulang Ala Thai

Hampir seminggu Hari Raya Haji berlalu. Pasti masih ada saki-baki hasil daging korban yang ada di dalam peti sejuk rumah kita bukan? Kalau setiap hari asyik makan lauk daging, kadang-kadang pasti bosan juga. Apa kata sekali-sekala cuba hidangan sup tulang. Selain menyegarkan badan, sup tulang enak dimakan di musim hujan ini. Bertambah-tambah selera makan. Jom SalamToday kongsikan resepi enak Sup Tulang Ala Thai.

Bahan-bahan:

(hidangan untuk 5 orang)

1/2 kg tulang rusuk dipotong kecil- guna tulang biasa
200 gm daging campur (yang segar ya)
5 ulas bawang merah dihiris
1 inci halia dihiris halus atau ditumbuk
2 ulas bawang putih dihiris halus atau ditumbuk
serba satu bunga cengkih, bunga lawang, kulit kayu manis, buah pelaga
1 bungkus sup bunjut Adabi atau Sup Tulang
1 biji tomato dibelah 6
3 biji cili padi diketuk
1 batang seleri dihiris serong
1 biji limau nipis, diperah airnya
garam secukup rasa
minyak untuk menumis
1 labu bawang holland sederhana besar dibelah 8
daun sup dan daun bawang secukupnya

Cara membuatnya:

1. Basuh tulang dan daging dan toskan. Masukkan ke dalam periuk dan tambahkan air secukupnya sehingga daging dan tulang tenggelam. Rebus hingga empuk. Tutup periuk dan gunakan api perlahan untuk hasil memuaskan. Gunakan periuk tekanan jika ada, untuk menjimatkan masa.

2. Apabila daging telah empuk, masukkan sup bunjut dan sediakan bahan tumisan. Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bawang merah, bawang putih, halia dan rempah ratus hingga wangi dan bawang keperangan. Tuangkan ke dalam periuk sup.

3. Biarkan sup mereneh dengan api perlahan. Masukkan cili padi, bawang besar holland, tomato, seleri dan garam. Masukkan juga daun sup dan daun bawang yang dihiris halus.

4. Tutup api apabila cukup rasanya. Cedok sup ke dalam mangkuk dan perahkan air limau nipis. Taburkan bawang goreng jika suka. Sedia dinikmati.

Tambahkan cili padi jika suka lebih pedas dan air limau nipis jika suka lebih masam.

 

Sumber : Pengguna Facebook Aurelia Messalina