Resipi Ayam Golek Chef Anis Nabilah

Jika anda mengikuti akaun sosial media Chef popular Anis Nabilah, pasti anda tahu chef ini sering berkongsi resepi-resepi enak untuk dicuba.

Kali ini SalamToday terpanggil untuk berkongsi resipi Ayam Golek yang merupakan salah satu menu kegemaran Chef Anis Nabilah. Sebagai bonus, Chef genit ini turut berkongsi resipi untuk membuat sambal cicah sebagai pelengkap hidangan.

 

Bahan-bahan:

2 ekor ayam

 

Perapan:
10 ulas bawang putih dicincang halus

4 tangkai cili segar, dibuang biji dan dicincang halus

5 sudu besar flake cili kering

3 biji perahan air lemon

5 batang serai, buang lapisan keras dan dicincang halus

1 sudu besar serbuk kunyit

3 sudu besar madu asli

Garam

Lada hitam (Fresh ground pepper)

5 sudu besar minyak kelapa

 

Sambal:

6 tangkai cili segar

4 biji cili padi merah

3 biji bawang merah

4 ulas bawang putih

4 biji tomato ceri

1 sudu besar madu

Garam

1 sudu besar minyak kelapa

Air

Cara membuatnya :

1) Bersihkan ayam dan dengan menggunakan gunting dapur, potong kedua-dua sisi tulang belakang dari hujung ke hujung dan keluarkannya.

Pusingkan bahagian dada ke sebelah atas dan buka seperti buku. Tekan bahagian dada untuk meratakannya dan letakkan ayam di rak dawai dalam kuali panggang.

2) Campurkan kesemua bahan-bahan perapan di dalam mangkuk kecil dan sapukan pada ayam secara sekata. Simpan ayam ke dalam peti sejuk untuk diperap selama satu jam ke empat jam.

3) Panggang ayam di dalam ketuhar yang telah dipanaskan terlebih dahulu pada suhu 185 darjah celsius selama 45 minit ke satu jam.

4) Untuk menyediakan sambah cicah, panggang cili segar, cili padi, bawang merah, bawang putih dan tomato di dalam ketuhar selama 15 minit.

Selepas disejukkan selama 10 minit, kisar kesemua bahan-bahan ini. Kemudian, panaskan minyak kelapa di dalam kuali dan goreng sambal dengan menambah garam dan madu.

5) Selepas ayam masak, rehatkan selama 15 minit sebelum dihidangkan. Jangan buang jus ayam, sebaliknya tuang ke atas ayam.

6) Nikmati ayam golek ini bersama nasi putih, salad atau hidangan sayur-sayuran.

 

Kredit foto : Instagram Chef Anis Nabilah