Persekitaran Web Patuh Muslim.. Ketahuiselanjutnya

Resipi Ramadan : Mi Kari Istimewa Untuk Berbuka Puasa

Selera Rahayu Mat Nah 16-Mei-2019

Siapa kata orang bujang hanya sesuai beli juadah berbuka puasa di luar? Sesekali apa salahnya mencuba menu air tangan sendiri. Mana tahu rasanya lebih enak daripada makanan yang dibeli di luar atau di bazar Ramadan.

Bagi yang tidak betah ke dapur, mungkin anda perlukan resipi untuk membantu menyediakan makanan. Internet kan ada, semua maklumat ada di hujung hari.

Jika anda penggemar Mi Kari tetapi tidak tahu bagaimana untuk menyediakannya, boleh cuba resipi yang disediakan oleh Chef Jojie, Ketua Cef Ombak Dive Resort, Pulau Perhentian ini.

Sukatan yang diberikan adalah untuk hidangan seorang.

Bahan-bahan

1) 2 biji buah pelaga

2) 1 batang kayu manis

3) 2 biji bunga lawang

4) 30 gram daun kari

5) 150 gram serbuk kari daging

6) 1 batang bunga kantan

7) 100 gram daging dihiris

8) 130 gram mi kuning

9) 30 gram sawi

10) 20 gram lobak merah

11) 1 cawan santan

Bahan-bahan yang dikisar

1) 2 biji Bawang Holland

2) 2 ulas bawang putih

3) 1 inci halia

4) 50 gram udang kering

Cara-cara memasak

1) Panaskan dua sudu besar minyak dan tumiskan bunga lawang, buah pelaga dan kayu manis selama seminit.

2) Masuk bahan-bahan yang dikisar tadi dan tumis hingga pecah minyak.

3) Masuk serbuk kari, daun kari dan sedikit air. Kacau hingga kering.

4) Masukkan santan dan sedikit air untuk kuah. Setelah mendidih masukkan daging dan biar sehingga empuk. Gunakan api perlahan supaya santan tidak pecah minyak dan kacau selalu.

5) Akhir sekali masukkan sayur dan bunga kantan serta perisakan dengan garam dan gula secukup rasa.

Selamat mencuba! Kalau masakan anda menjadi, balik kampung nanti boleh masakan untuk emak dan ayah pula.