Restoran dan tatacara pasca-COVID-19

Kehidupan Hanita Hassan 02-Jun-2020
Restoran di pasca-COVID-19 © Zahidi Shafie | Dreamstime.com

Banyak restoran dan kafe di seluruh dunia masih ditutup akibat ancaman COVID-19. Namun selepas Ramadan, premis restoran telah dengan perlahan memulakan operasi masing-masing sedikit demi sedikit dalam normal baru setelah beberapa bulan tidak beroperasi ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Walau bagaimanapun peniaga makanan perlu mengamalkan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat bagi mengelak penyebaran COVID-19.  Ia termasuk penjarakan sosial, kerap cuci tangan, memakai topeng muka dan melaporkan kepada Jabatan Kesihatan sekiranya ada maklumat jangkitan virus bagi melindungi kumpulan berisiko.

Pemilik restoran dan gerai perlu membersihkan restoran dan peralatan seperti pinggan, sudu, periuk dan lain-lain alat memasak serta menyusun meja dan kerusi dengan jarak sekurang-kurangnya dua meter supaya ada ruang luas untuk pelanggan dan pekerja.

Letak notis di setiap meja hanya untuk seorang hingga tiga, bergantung kepada saiz meja.  Buat garisan di lantai depan kaunter bayaran sekurang-kurangnya satu meter.  Sediakan cecair pencuci kuman di kaunter manakala sabun atau pencuci mencukupi di tempat basuh tangan. Beli penyembur pembersih meja mencukupi. Bersihkan meja sebelum pelanggan lain duduk.

Sediakan penutup mulut dan hidung untuk pekerja.  Periksa suhu badan pelanggan sebelum dibenarkan masuk ke restoran dan catat nama dan nombor telefon pelanggan serta tarikh dan masa mereka ke restoran supaya pengesanan kontak mudah dibuat jika ada kes positif COVID-19.

Sebuah restoran di Bangkok, Thailand menjadikan patung panda sebagai simbolik untuk   membantu pengunjung mempraktik penjarakan sosial. Restoran Maison Saigon  yang terkenal dengan makanan Vietnam ini tampil dengan idea kreatif untuk memastikan pelanggannya tidak berasa sunyi dan keseorangan ketika makan di restoran tersebut.  Ia turut meletakkan penghadang plastik di tengah meja sebagai pencegahan penyebaran wabak.

Di Sweden, terdapat sebuah restoran yang menawarkan pengalaman menikmati hidangan secara solo di tengah-tengah padang. Pengasas restoran Bord for en, Linda Karlsson dan pasangannya Rasmus Persson melaksanakan pendekatan kreatif itu  untuk konsep restoran pasca-COVID-19.

Manakala sebuah restoran di Maryland, Amerika Syarikat telah tampil dengan idea kreatif menyediakan gelung getah tayar gergasi sebagai meja untuk pelanggan. Ini bagi memastikan pelanggan mematuhi penjarakan sosial sebagai prosedur mengelak penularan COVID-19.  Pemilik restoran  membeli meja bumper buatan khas dan beroda demi memastikan setiap pelanggan berada satu meter antara satu sama lain.

Seperti yang masyarakat semakin maklum, mana-mana premis perniagaan atau kilang yang tidak mematuhi SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika beroperasi dalam tempoh PKPB akan dikenakan tindakan tegas, termasuk penutupan premis dan operasi berkenaan.

Kita berharap semua pihak restoran dapat mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk sama-sama membantu memutuskan rantaian pandemik COVID-19.  Pelanggan juga seharusnya melakukan perkara yang sama dan ikut peraturan yang ditetapkan.  Kita jaga kita dan kita bantu semua.