Restoran Sahala Buat Penggemar Hidangan Timur Tengah

makanan arab

Makanan dari Timur Tengah bukanlah sesuatu yang asing buat rakyat Malaysia. Antara menu yang menjadi pilihan ramai ialah Nasi Mandy, Kebab, Shawarma, Hummus, Falafel dan Baklava.

Untuk menikmati hidangan ini, ia bukanlah satu isu besar kerana restoran Arab memang mudah untuk dicari terutamanya di kawasan Lembah Klang.

Terbaru, anda boleh mencuba Restoran Sahala yang terletak di Cottage Walk, Persiaran APEC, Cyberjaya.

Restoran yang menyediakan makanan asli dari Yemen ini menjanjikan pengalaman kulinari yang menggembirakan.

Setiap hidangan disediakan oleh barisan chef yang dibawa terus dari Yaman bagi memastikan setiap makanan yang dihidangkan berkualiti dan menepati rasa sebenar.

Menurut pemilik Restoran Sahala, Mr Saeed, antara keunikkan atau keistimewaan Restoran Sahala ialah, mereka menyediakan beberapa hidangan dengan cara tradisional di mana ianya dimasak dengan menggunakan dapur kayu api.

Bahkan, kebanyakkan rempah-ratus turut dibawa dari Timur Tengah agar keaslian rasanya terjamin.

Nasi Mandy merupakan salah satu hidangan popular di Restoran Sahala dan ia boleh dinikmati dengan ayam, kambing dan daging lembu. Tentang rasa, tidak dinafikan Nasi Mandy di sini dimasak dengan secukup rasa.

Hidangan ayam dan daging lembu serta kambing juga lembut, berjus serta diperap sempurna. Rempah-ratus yang digunakan ternyata membangkitkan selera.

Lain-lain menu nasi yang turut tersedia ialah Madbee Ayam, Madbee Daging, Nasi Ayam Panggang, Nasi Ikan Panggang, Kabssah Ayam, Kabssah Daging dan Haneeth Ayam.

Selain itu, anda juga boleh mencuba BBQ Turki yang menggunakan resepi khas dari Turki. Cara penyediaannya juga menggunakan dapur tradisional yang menggunakan kayu api yang sudah menjadi kebiasaan di Turki.

Antara menu BBQ yang boleh dicuba ialah Kambing Panggang, Kebab Gulung Istanbul, Kebab Daging Turki Stail, Shish Daging Turki Stail, Shish Tawook Turki Stail serta set untuk keluarga iaitu Sahala BBQ Meal dan Mix BBQ Turki Stail.

Satu lagi keistimewaan Restoran Sahala ialah, anda boleh mendapatkan kad keahlian yang membolehkan anda mendapat diskaun 10 peratus setiap kali anda berkunjung ke sana.

Sesuai dengan motonya, ‘Makanan Hebat untuk Dikongsi’, anda juga boleh berkongsi kad keahlian ini dengan rakan-rakan yang ingin menjamu selera di Restoran Sahala.

Caranya mudah sahaja, hanya kongsi foto kad keahlian anda kepada mereka dan mereka perlu tunjukkan ke pihak restoran sebelum membuat bayaran.

Restoran Sahala dibuka pada setiap hari dari pukul 11.30 pagi hingga jam 11.30 malam.

Foto : Rahayu Mat Nah