Rezeki dari pelbagai arah

Kepercayaan Hanita Hassan 21-Apr-2020
Sebelum pulang ke sarang dengan rezeki di paruh © Lcswart | Dreamstime.com

Rezeki adalah milik mutlak dan rahsia Allah SWT.  Sejak dari dalam rahim ibu, sama ada yang beriman atau tidak, telah tertulis rezeki kita.  Meskipun kita sedar akan janji Allah itu pasti, tetapi masih lagi wujud kerisauan dan kebimbangan berkait dengan hal rezeki dalam hati.

Kajian yang dilakukan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendapati, sehingga pertengahan tahun ini dijangka  sejumlah 195 juta populasi dunia akan hilang punca pendapatan. Ia adalah suatu angka yang sangat besar dan membimbangkan.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlaku di seluruh dunia telah merubah aktiviti harian.  Banyak syarikat kecil, sederhana mahupun syarikat berjenama besar terpaksa mengecilkan kos operasi. Pendapatan perniagaan merosot sehingga 50%, terutama sektor pelancongan dan pengangkutan. Pekerja terpaksa diberhentikan. Pekerja yang tinggal terpaksa menerima separuh daripada gaji sebenar.

Rakyat di Malaysia juga dijangka akan mengalami masalah yang sama sekiranya wabak koronavirus baru ini berterusan sehingga penghujung tahun ini. Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) meramalkan jumlah yang diberhentikan boleh meningkat dua kali ganda daripada 40,000 orang yang kehilangan pekerjaan tahun lalu.

Dalam Islam, rezeki itu boleh datang daripada pelbagai arah. Kita mungkin tiada gaji ketika ini, tetapi kita semua telah dijanjikan rezeki.  Bekerja makan gaji bukan satu-satunya pintu rezeki.  Ia datang daripada pelbagai cara dan selalunya tidak disangka-sangka. Paling penting, dalam situasi yang berlaku hari ini, kita harus belajar untuk bertenang dan bersabar sebelum memikirkan rancangan seterusnya.

Nabi Muhammad SAW mengajar kita supaya melihat dan mengambil manfaat daripada alam ciptaan Allah SWT termasuk haiwan yang bernama burung.  Burung tidak bimbang akan rezekinya setiap hari.  Sifat kebergantungan penuh kepada Allah menjadikannya kuat.  Apabila senja menjelang kita dapati burung pasti pulang ke sarang dengan riang    membawa rezeki di paruhnya.

Allah SWT dalam al-Quran menyatakan:  “Sesiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.  Dan memberi rezeki kepadanya tanpa disangka-sangka. Dan sesiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya.  Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendaki-Nya.  Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.”  (Surah At-Talaq, ayat 2-3).

Sesungguhnya rezeki bukan hanya datang dalam bentuk wang.  Ia datang daripada pelbagai cara. Kita menyedut nafas setiap hari juga rezeki.  Keluarga yang sempurna juga rezeki, rakan taulan yang baik juga adalah rezeki.   Justeru, hargai dan syukuri nikmat yang kita terima hari ini.  Insya-Allah, kita akan berasa cukup dengan apa yang kita ada.