Rezeki PKP: Biar sedikit asal berkat

Ekonomi Tari Basir
Terkini oleh Tari Basir
Rezeki PKP: Biar sedikit asal berkat
Rezeki PKP: Biar sedikit asal berkat © Odua | Dreamstime.com

Sehingga hari ini, majoriti negara masih meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik COVID-19 yang masih belum tampak surutnya.

Walaupun PKP sedikit sebanyak meruntuhkan ekonomi negara, bahkan juga merobek kewangan penduduknya, namun tiada lagi cara yang terbaik selain PKP pada ketika ini.

Rezeki PKP: Biar sedikit asal berkat

Walau bagaimanapun, PKP tetap tidak menghalang masyarakat global untuk mencari rezeki. Meskipun beberapa pintu rezeki mereka tertutup rapat, namun seiring dengan naluri survival manusia,  mereka tetap berusaha membuka pintu rezeki yang lain.

Namun bezanya ialah, sebahagian memilih untuk membuka pintu rezeki daripada sumber yang salah. Apatah lagi sumber tersebut dibuka dengan berpaksikan penutupan pintu rezeki orang lain.

Scam, penipuan dan bermacam jenis sumber rezeki yang salah sudah tentu jelas haram hukumnya,  dilaknati oleh Allah SWT. Namun, demi lambakan wang ringgit tatkala satu persatu pintu rezeki yang tertutup dek pandemik ini, mata dipejam telinga dipekakkan walaupun hati meronta tanda iman kurniaan Allah.

Rezeki Allah Taala sememangnya luas terbentang, namun yang haram sudah tentu bukan salah satu daripadanya. Walaupun rezeki haram dipilih kerana mudah diraih dalam kuantiti yang banyak dalam tempoh yang singkat, namun berbaloikah dosa yang menjadi pulangannya?

Mengapa tegar mencari rezeki haram?

Bayangkan, hasil daripada scam mampu mencecah sehingga hampir RM100 ribu dalam tempoh satu jam! Di mana ia diperoleh hasil penipuan kepada mangsa yang telah menyimpan hampir lebih sepuluh tahun. Titik peluh hasil membanting tulang saban waktu lesap begitu sahaja dek tatktik penipuan sekelip mata.

Adakah mereka yang bergelumang dalam kolam rezeki haram ini, tidak menyedari dosa yang tersingkap di sebalik modus operandi mereka? Atau sekurang-kurangnya merasa kasihan, dan cuba bayangi andai keluarga mereka pula yang menjadi mangsa?

Jika tikaman dosa itu tidak mampu dirasai hati mereka, maka sudah tentu tanda iman mulai hilang, umpama ribuan wang ringgit yang lesap sekelip mata dek perbuatan mereka.

Nabi Muhammad SAW bersabda dalam sebuah hadith yang diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim:

“Tidaklah seorang penzina itu berzina sedangkan dia dalam keadaan dia beriman. Tidaklah seorang pencuri itu mencuri sedangkan dia dalam keadaan dia beriman dan tidaklah seorang peminum arak itu meminum arak dalam keadaan dia beriman.”

Hakikatnya, pulangan wang ringgit dari sumber yang haram tidak layak dipanggil rezeki. Rezeki itu merupakan anugerah Allah Taala kepada hamba-Nya yang beriman.

Ia lebih sesuai digelar istidraj, iaitu tarikan nikmat Allah SWT yang hanya membawa dirinya jauh daripada-Nya, lalu terbakar di Neraka umpama rama-rama yang terbang laju ditarik sinar api.

Kualiti keberkatan tidak mengenal kuantiti

Manusia sering mengimpikan rezeki yang banyak, tanpa menyedari bahawa kualiti keberkatan bukan hinggap pada kuantiti. Hakikatnya, rezeki yang baik bukanlah banyak jauh sekali sedikit, namun rezeki yang mencukupi. Cukupnya dinikmati, lebihnya mampu dikongsi.

Walaupun PKP sedikit sebanyak memberi impak kepada pencarian rezeki, namun jangan sesekali berniat untuk beralih kepada yang haram sumbernya. Lebih baik berceloteh menjual kuih daripada bermanis janji menipu orang lain.

Ingatlah, rezeki yang diraih kemudiannya dimakan akan menjadi darah daging. Apatah lagi ia masuk ke dalam perut isteri dan anak-anak.

“Lalu jasad dipenuhi dan kemudiannya tumbuh segar bugar dek hasil yang haram. Maka Nerakalah yang lebih berhak ke atas dirinya kelak.”

(Hadis riwayat At-Tabrani)