Riadah memanah ketika berpuasa: Penghayatan peperangan Rasulullah SAW ketika Ramadan

Kesihatan Fizikal 25 Apr 2021 Tari Basir
Tari Basir
Riadah memanah ketika berpuasa: Penghayatan peperangan Rasulullah SAW ketika Ramadan
Riadah memanah ketika berpuasa: Penghayatan peperangan Rasulullah SAW ketika Ramadan © Nazriyaakub | Dreamstime.com

Tidak dinafikan, setiap Muslim pasti akan merasa lemah dan tidak bermaya acap kali berpuasa sebulan dalam bulan Ramadan. Sudah tentu perkara ini bersifat alami, kerana badan kekurangan air kerana berpuasa. Kerana itulah, banyak aktiviti berat dielakkan bagi mengelakkan badan menjadi cepat penat sehingga dahaga datang menguasai.

Walaubagaimanapun, berpuasa di bulan Ramadan tidak bermakna aktiviti riadah juga dilupakan. Waktu malam setelah usai ber’Tarawih’ menjadi waktu pilihan untuk beriadah kerana sudah pun berbuka puasa dan boleh meminum air selepas beriadah.

Namun, beriadah di pagi hari ketika berpuasa juga bukanlah suatu perkara yang mustahil. Bahkan riadah juga boleh dilakukan ketika berpuasa, selagimana badan mampu dan aktiviti riadah tidak terlalu berat seperti bulan-bulan biasa.

Peperangan yang dihadapi Rasulullah SAW dalam bulan Ramadan

Sebagai seorang manusia biasa, tidak dinafikan aktiviti riadah ringan ketika berpuasa kadangkala membuatkan badan letih. Jangankan beriadah, kadangkala hanya sekadar duduk sahaja juga boleh menghadirkan rasa dahaga.

Namun, jika disoroti sirah Nabawi selaku seorang Muslim, beberapa peperangan dihadapi oleh Nabi Muhammad SAW yang berlaku dalam bulan Ramadan. Antaranya ialah peperangan yang masyhur iaitu Perang Badar. Ia berlaku dalam bulan Ramadan pada tahun kedua sesudah Hijrah.

Betapa hebatnya Rasulullah SAW bersama para tenteranya yang memiliki semangat jihad yang tinggi, sehingga mampu berperang ketika berpuasa. Bahkan mencapai kemenangan.

Kerana itulah, seorang Muslim seharusnya mengambil iktibar daripada siri peperangan yang berlaku dalam bulan Ramadan. Iaitu semangat jihad yang tinggi mampu mengubah ‘mind set’ seorang Muslim sehingga mampu menggalas perintah Allah Taala termasuklah berpuasa.

Malah, ia juga mengajar umat Islam agar tidak menjadikan penat berpuasa sebagai satu alasan, sehingga menyebabkan diri tidak produktif. Bahkan sehingga mampu menyebabkan ‘non-Muslim’ berpandangan bahawa berpuasa di bulan Ramadan hanya melemahkan umat Islam sahaja.

Riadah memanah ketika berpuasa

Umumnya umat Islam mengetahui bahawa memanah merupakan sunnah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Walaupun ia bermula sebagai salah satu seni peperangan, namun sesuai dengan perkembangan masa dan keamanan, memanah kini menjadi satu hobi, riadah bahkan sukan yang dipertandingkan.

Memanah ketika berpuasa boleh dikira sebagai satu aktiviti riadah ringan. Memanah secara statik, iaitu hanya memanah satu sasaran atau ‘target face’ sahaja sudah memadai kerana tidak terlalu penat. Apatah lagi dengan adanya tempat memanah secara ‘indoor’, maka riadah memanah boleh dilakukan tanpa berada di bawah terik matahari.

Hakikatnya, riadah memanah ketika berpuasa dalam bulan Ramadan sedikit sebanyak memberi penghayatan kepada pemanah Muslim mengenai siri peperangan Rasulullah SAW yang berlaku dalam bulan tersebut. Bagaimana dalam berpuasa, amal berperang yang begitu berat mampu dilakukan sehingga melibatkan taruhan nyawa.

Memanah ketika berpuasa juga mampu melatih fokus, agar sentiasa kekal membidik sasaran meskipun berlapar dan merasa dahaga. Setiap anak panah yang dilepaskan tidak hanya sekadar dilepaskan, bahkan ia hadir daripada semangat dan roh yang terhasil daripada ibadah berpuasa.

Dalam Ramadan yang berbaki ini, cuba walaupun sekali riadah memanah. Agar dapat menghayati sedikit sebanyak semangat jihad Nabi Muhammad SAW dan para tenteranya yang berperang ketika berpuasa dalam bulan Ramadan.

Jika tiada peralatan memanah, bolehlah mencubanya di tempat memanah yang ada. Sekali-sekala, ayuh merasai dan melatih ‘mind set’ bahkan iman, agar tidak terlalu kalah dengan kepenatan berpuasa.

*Penulis merupakan ahli Kelab Memanah Barisan Hadapan Negeri Sembilan (NSFAC)