Riadah menanam pokok dan kebaikannya kepada kawasan sekitar

Alam Sekitar Hanita Hassan
Terkini oleh Hanita Hassan
Riadah menanam pokok dan kebaikannya kepada kawasan sekitar
Riadah menanam pokok dan kebaikannya kepada kawasan sekitar © Wirestock | Dreamstime.com

Tumbuh-tumbuhan amat penting dalam kehidupan kita.  Allah SWT mencipta tumbuh-tumbuhan untuk memberi sumbangan kepada manusia. Ia membekalkan sayur-sayuran dan buah-buahan serta memulihara kelestarian ekosistem alam sekitar untuk pembentukan ekosistem bumi.

Banyak ayat dalam al-Quran yang menerangkan tentang tumbuh-tumbuhan. Begitu juga dengan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW yang membincangkan tentang tumbuh-tumbuhan serta kegunaannya.

Riadah menanam pokok dan kebaikannya  

Sebagai contoh, sebuah hadis berkaitan penggunaan al-Habbat al-Sawda. Daripada Aisyah r.a bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya al-Habbat al-Sawda ini adalah penawar bagi segala penyakit melainkan al-Sam.  Aisyah r.a bertanya:  Apakah al-Sam itu?  Jawab Nabi Muhammad SAW: Kematian.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Hari ini, pembangunan dan pembinaan kawasan penempatan telah memisahkan kita dengan alam sekitar.  Penebangan pokok memberi impak yang cukup besar dalam kehidupan kita, malahan kepada kesihatan manusia.  Penanaman semula pokok perlu dilakukan bagi menggantikan pokok-pokok yang telah ditebang.  Ia hendaklah bermula di rumah anda.

Apabila kita menanam pokok, ia bukan sahaja membantu memulihkan semula alam sekitar.  Pokok yang kita tanam boleh membekalkan oksigen dan menyerap semula karbon dioksida di udara, mengurangkan kesan gas rumah hijau serta kesan panas di kawasan tempat kita tinggal.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia: (timbulnya yang demikian) kerana Allah SWT hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

(Surah ar-Rum, ayat 41)

Menanam pokok atau berkebun di kawasan rumah boleh menjadi aktiviti keluarga yang sihat sebagai ganti riadah.  Di samping membersihkan kawasan rumah, anda turut membantu memberi teduhan dan makanan kepada haiwan, binatang dan serangga kecil.

Setiap kali pokok-pokok yang ditanam menghasilkan buah-buahan atau sayur-sayuran, hasilnya boleh digunakan oleh anda sendiri atau diberikan kepada ahli keluarga mahupun jiran.

Pelbagai jenis pokok dan penanaman yang sesuai di rumah

Daripada Anas bin Malik r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Mana-mana orang Islam yang bercucuk tanam kemudian dimakan daripadanya burung, manusia atau binatang tiada yang lain kecuali baginya sebagai sedekah.”

(Hadis riwayat al-Bukhari, 2320)

Penanaman pokok bergantung kepada kawasan.  Sekiranya anda tinggal di kawasan bandar yang sesak dengan pencemaran kenderaan, anda perlu mempunyai pohon hijau di rumah.  Walau bagaimanapun, anda hendaklah pandai memilih jenis tanaman dalam rumah yang boleh berfungsi sebagai pembersih udara.

Bagi yang tidak mempunyai tanah, anda boleh menanam pokok  bunga dalam pasu dan letakkan di sudut-sudut rumah.  Ia bukan sahaja menyerikan ruang tamu, malahan memberi anda udara yang jauh lebih bersih.

Antara pokok yang tahan ditanam dalam rumah seperti pokok Labah-labah (spider plant), pokok Duit-duit (money plant), Areca Sawit, Peace Lily, Lidah Mertua, English Ivy dan Orkid.  Anda juga boleh menyemai benih-benih pokok herba seperti Serai, Halia, Pandan, Cili Padi, Daun Saderi, Kesum dan pokok Kari di dalam pasu.

Sesungguhnya apabila kita menanam pokok, ingatlah bahawa kita telah melakukan kebaikan kepada semua makhluk Allah SWT di dunia ini.  Walau bagaimanapun, pastikan anda menyiram dan membajanya setiap seminggu sekali untuk mendapatkan hasil yang memberangsangkan.  Selamat berkebun.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.