Rindu bercuti, segeralah tamat PKP!

Suka Hanita Hassan 02-Jun-2020
Pelancongan mesra alam di Langkawi © Joanne Zhe | Dreamstime.com

Setiap tahun apabila tiba musim perayaan utama seperti Aidilfitri, ramai dalam kalangan masyarakat yang mengambil kesempatan untuk memanjangkan cuti. Di samping merehatkan minda, kita juga dapat mengeratkan ikatan kekeluargaan.

Pakej percutian dalam negeri tidak kurang hebat.  Selain tinggal di hotel, ada juga yang menggemari pengalaman di atas kapal atau berkhemah di bawah langit malam dihiasi bintang, dikelilingi hutan hijau, tinggal di rumah kebun yang dipenuhi buah-buahan sambil menikmati udara bersih.

Bagi yang gemar melihat negara orang, inilah waktu untuk bercuti ke luar negara.  Paling dekat ialah Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina.  Tahun lepas, sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia, banyak pakej percutian dan tiket penerbangan tambang murah ditawarkan untuk percutian-percutian sepanjang tahun 2020.

Ada juga yang telah menempah tiket penerbangan untuk meraikan Aidilfitri di Pulau Bali bersama keluarga. Tidak kurang juga peminat aktiviti memanjat gunung yang mahu menakluk puncak Everest.

Semua perancangan itu nampaknya tinggal perancangan sahaja.  Kita bukan sahaja tidak dapat pulang ke kampung halaman berhari raya, kita juga tidak dapat memenuhi pakej-pakej percutian yang telah diambil  lebih awal.

Kita perlu tunda percutian sehingga ke satu tarikh lain.  Sementara itu, kita perlu didik hati supaya bersabar dan kekal duduk rumah untuk memutuskan rantaian pandemik COVID-19 sepenuhnya.

“Dan mereka merancang, Allah juga merancang.  Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik Perancang.”  (Surah Ali-Imran, ayat 54)

Laporan daripada Kajian Mengenai Pelancongan Domestik Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan oleh Tourism Malaysia mendapati lebih 71.3% memilih untuk melancong di dalam negara dan kebanyakannya mengutamakan faktor keselamatan dan kebersihan dalam memilih destinasi pelancongan.

Kajian secara online yang dilakukan dari 7-13 April 2020 yang melibatkan 13,797 responden dari seluruh Malaysia mendapati rakyat Malaysia lebih cenderung memilih destinasi percutian dalam negara berbanding luar negara selepas wabak COVID-19 melanda dunia.

Sejumlah 30.7% pelancong domestik akan memilih untuk bercuti 6-12 bulan selepas PKP berakhir. 63.9% akan memilih untuk bercuti bersama keluarga. Sebanyak 88.4% responden memilih merancang percutian mereka, berbanding 11.6% mengambil pakej pelancongan.

Kajian mendapati 76.8% berminat untuk bercuti di kawasan pulau dan pantai, 72.2% memilih syurga makanan dan 67.8% nilai terbaik berbaloi dengan harga.  Antara tempat percutian lain yang dicadangkan adalah negara berbilang kaum (57.8%), eko pelancongan (57%), kepelbagaian budaya/festival (54.6%), kemudahan akses (46.9%), kehijauan alam (45.7%), mesra Muslim (45.2%) dan destinasi bersejarah (45.1%).

Percutian dalam negara pastinya menjadi pilihan terbaik selepas ini. Kita boleh memilih untuk menaiki kenderaan sendiri dan menjaga atau mengenalpasti kontak rapat sepanjang perjalanan. Kita juga tidak perlu menaiki kapal terbang dan terdedah kepada orang ramai di lapangan terbang.

Menurut laporan portal The New York Times, normal baharu di hotel selepas ini akan mengamalkan kaedah daftar masuk tanpa sentuhan (mungkin melalui aplikasi telefon pintar), perkhidmatan bilik tanpa hubungan, dan penutup pintu yang menunjukkan bilik belum dimasuki sejak pembersihan terakhir.

Kepada yang akan bercuti bila keadaan mengizinkan, bersedialah untuk menghadapi norma-norma baru di luar sana. Selamat bercuti dan Salam Lebaran diucapkan.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!