Ringkasan 10 sahabat Nabi dijanji syurga

Kepercayaan Chan Abdullah 18-Mei-2020
Masjid Al-Nabawi, lokasi makam Rasulullah, Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar © Razihusin | Dreamstime.com

Terdapat dua hadis sahih mengenai tajuk artikel ini yang telah diriwayatkan dari kitab-kitab hadis Sunan Abu Dawud dan Sunan At-Tirmidzi. Sahabat-sahabat utama Rasulullah SAW ini bukan sahaja membenarkan ajaran Baginda. Malah, mereka sanggup berkorban harta dan nyawa demi mempertahankan Nabi dan menegakkan syiar agama Islam.

Dari Abdurrahman bin Auf r.a. (Hadis riwayat At-Tirmidzi), Rasulullah SAW bersabda: “Abu Bakar di syurga, Umar di syurga, Uthman di syurga, Ali di syurga, Thalhah di syurga, Zubair di syurga, Abdurrahman di syurga, Sa’ad di syurga, Sa’id di syurga, Abu Ubaidillah di syurga.”

Menurut hadis ini, terdapat sepuluh orang sahabat Nabi yang telah dijamin syurga Allah SWT. Berikut ialah ringkasan mengenai mereka:

Saidina Abu Bakar As-Siddiq atau Abdullah bin Uthman r.a. dianggap sebagai laki-laki dan sahabat pertama Nabi yang memeluk Islam. Sebagai penasihat kanan Nabi, Saidina Abu Bakar menjadi peneman Nabi ketika mula berhijrah ke Madinah. Setelah kewafatan Nabi, Saidina Abu Bakar menjadi khalifah pertama dalam pemerintahan Khulafa Ar-Rasyidin.

Saidina Umar bin Al-Khattab r.a. adalah salah seorang sahabat Nabi yang terkenal dengan ketegasan memerangi musuh-musuh Islam. Saidina Umar telah menjadi khalifah kedua dalam pemerintahan Khulafa Ar-Rasyidin selepas Saidina Abu Bakar. Di bawah pemerintahan beliau, wilayah Islam berkembang pesat dan menjadi lebih besar.

Saidina Uthman bin Affan r.a. merupakan khalifah yang ketiga. Beliau telah memperkenalkan Al-Quran Mushaf Uthmani iaitu salinan bertulis yang menjadi versi Al-Quran yang digunakan sekarang. Ketika pemerintahan beliau, semua tulisan-tulisan wahyu telah dikumpulkan dan disusun semula seperti yang telah ditetapkan oleh Nabi.

Saidina Ali bin Abi Talib r.a. Saidina Ali adalah khalifah yang keempat. Beliau turut dianggap sebagai lelaki (kanak-kanak) pertama yang memeluk Islam. Beliau merupakan suami kepada Fatimah Az-Zahrah r.a., puteri Nabi yang paling dikasihi. Dalam sejarah, Saidina Ali telah menggantikan Baginda di tempat tidurnya ketika Nabi dan Abu Bakar berhijrah ke Madinah.

Thalhah bin Abdullah r.a. menganut agama Islam melalui Saidina Abu Bakar. Beliau selalu menyertai setiap peperangan selain Perang Badar. Di dalam perang Uhud, beliaulah yang mempertahankan Nabi sehingga terhindar dari mata pedang musuh, sehingga putus jari-jari beliau.

Zubair bin Awaam r.a. telah memeluk Islam melalui perantaraan Saidina Abu Bakar. Beliau ikut berhijrah sebanyak dua kali ke Habsyah atau Abyssinia (Hijrah Pertama). Sebagai panglima tentera dalam pemerintahan Khulafa Ar-Rasyidin, beliau telah mengikuti semua peperangan sehingga terkorban sewaktu Perang Jamal.

Sa’ad bin Abi Waqqas r.a. pula telah masuk Islam sejak berumur 17 tahun dan mengikuti seluruh peperangan Islam. Pernah ditawan musuh lalu ditebus oleh Rasulullah sewaktu perang Uhud. Beliau juga terkenal kerana lawatan diplomatiknya ke negara China.

Sa’id bin Zaid r.a. sudah menganut agama Islam sejak dari kecil lagi. Beliau telah mengikuti semua peperangan kecuali Perang Badar. Beliau bersama Thalhah kerap diperintahkan oleh Nabi untuk memantau dan menjalankan pergerakan penting dalam peperangan.

Abdurrahman bin Auf r.a. Memeluk Islam sejak kecil melalui perantaraan Saidina Abu Bakar. Beliau telah mengikuti semua peperangan bersama Rasulullah. Beliau juga turut menganggotai Majlis Shura ketika memilih khalifah ketiga. Turut berhijrah ke Habsyah sebanyak dua kali.

Abu Ubaidillah bin Jarrah r.a. juga adalah antara sahabat terawal yang masuk Islam. Beliau telah menyertai semua peperangan bersama Rasulullah. Selain menyertai hijrah Nabi dari Mekah ke Madinah, beliau juga turut serta dalam hijrah pertama ke Habsyah.

Pengorbanan sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang telah turut menghadapi cabaran dan penganiayaan bersama dengan Nabi jelas memberikan mereka status yang lebih tinggi daripada yang lain. Perjuangan Nabi dan para sahabat ini haruslah kita pelajari dengan lebih baik, dihormati dan disanjung tinggi.