Ringkasan solat sunat Aildilfitri

Agama Abi Aasim 23-Mei-2020
Solat raya di rumah © Nanausop | Dreamstime.com

Esok umat Islam di seluruh negara akan menyambut ketibaan hari raya Aildilfitri. Kemuncak hari raya pastinya adalah solat sunat Aildilfitri yang dilakukan pada pagi hari raya. Hukum solat sunat Aidilfitri ialah sunat muakkad, iaitu solat sunat yang sangat dituntut untuk dilakukan.

Solat sunat Aildilfitri biasanya dilakukan secara berjemaah di masjid ataupun di surau. Namun berikutan wabak COVID-19 yang masih belum berkesudahan, adalah digalakkan untuk kita melakukan secara berjemaah bersama keluarga di rumah sendiri sahaja.

Jika ada yang ingin menunaikan solat sunat Aildilfitri secara berjemaah di masjid, anda perlulah merujuk kepada ahli jawatankuasa masjid kariah anda. Anda juga perlu mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan Majlis Agama Islam negeri dan juga Kementerian Kesihatan

Sebelum solat sunat Aildilfitri, adalah disunatkan untuk mandi sunat Aildilfitri. Selain itu disunatkan juga untuk memakai pakaian yang cantik dan memakai wangi-wangian.

Solat sunat Aildilfitri boleh dilaksanakan setelah terbit matahari, iaitu sekitar jam lapan pagi sehinggalah sebelum masuk waktu zohor. Pastikan anda sudah membayar zakat fitrah sebelum menunaikan solat sunat Aildilfitri.

Solat sunat Aildilfitri ditunaikan dalam dua rakaat. Pada rakaat pertama, setelah takbiratul ihram dan membaca doa iftitah, anda perlu mengangkat tangan dan bertakbir sebanyak tujuh kali diselangkan dengan bacaan tasbih pada setiap takbir sebanyak enam kali. Kemudian barulah membaca Al-Fatihah dan ayat Al-Quran serta meneruskan solat sehingga lengkap rakaat pertama.

Pada rakaat kedua pula, setelah selesai takbir permulaan rakaat kedua, anda perlu mengangkat tangan dan bertakbir sebanyak lima kali diselangkan dengan bacaan tasbih pada setiap takbir sebanyak empat kali. Kemudian barulah membaca Al-Fatihah dan ayat Al-Quran serta meneruskan solat sehingga lengkap dan habis rakaat yang kedua.

Setelah memberi salam lazimnya imam atau khatib akan membacakan khutbah. Para jemaah tidak boleh berbual sehinggalah tamat khutbah dibaca. Jika anda adalah ketua keluarga dan solat di rumah, anda boleh menggunakan teks khutbah yang telah disediakan oleh Majlis Agama Islam negeri anda.

Anda juga boleh menyediakan teks khutbah sendiri. Anda perlu menyempurnakan rukun-rukun khutbah ketika menyampaikan khutbah. Selamat menunaikan solat sunat Aildilfitri bersama keluarga tercinta.