Riyak yang wujud dalam jiwa

Sahsiah Hanita Hassan 30-Jul-2020
Riyak dan jiwa manusia © Chung Jin Mac | Dreamstime.com

Dalam membina kehidupan dalam dunia yang serba mencabar ini, kita sering terperangkap dengan tipu helah dunia.  Tanpa sedar kita telah merosakkan ibadat terhadap Allah SWT kerana sifat riyak yang wujud dalam jiwa.  Ia sangat halus dan lembut.  Tiada sesiapa pun yang mengetahui riyak kecuali diri orang yang bersifat riyak itu sendiri.

Tugas utama kita dilahirkan di dunia ini adalah untuk mencari keredaan Allah SWT.  Kita melakukan kebaikan kepada manusia atau makhluk lain termasuk haiwan kerana kehidupan di dunia adalah sementara, akhirat adalah tempat yang kekal abadi.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:  “Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta terus takut dan mereka pula sentiasa khusyuk kepada kami.” (Surah al-Anbiya, ayat 90)

Allah SWT menjelaskan berkaitan sifat riyak dalam beberapa ayat di dalam al-Quran.  Firman-Nya dalam surah al-Ma’un yang bermaksud: “(Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.  (juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riyak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya).”  (Surah al-Ma’un, ayat 5-6)

Menurut Imam Fakhruddin al-Razi, riyak ialah menzahirkan sesuatu yang tidak ada pada hatinya supaya orang ramai melihatnya sebagai orang kuat pegangan agama.  (Rujuk Mafatih al-Ghaib 32/301)

Dalam surah al-Kahfi juga Allah SWT berfirman yang maksudnya:  “Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.”  (Surah al-Kahfi, ayat 110)

Disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW bahawa di hari kiamat kelak, akan ada orang yang semasa hidupnya mati dalam perang untuk membela agama tetapi ditolak amalannya oleh Allah SWT, seorang ustaz yang mengajar ilmunya tetapi Allah tidak menerima amalannya sebagai ahli ilmu, ada juga yang membaca al-Quran namun apa yang dilakukannya menjadi sia-sia di hadapan Allah.

Apakah yang sebenarnya berlaku kepada mereka sehingga segala kebaikan yang dilakukan tidak diterima. Mereka adalah orang-orang yang melakukan amal ibadat tetapi semuanya dilakukan demi pujian daripada orang lain (riyak).

Daripada Mahmud bin Labid, Nabi SAW bersabda yang menjelaskan makna riyak yang bermaksud: “Perkara yang paling aku takut terjadi pada kalian adalah syirik yang kecil. Para sahabat bertanya: Apa itu syirik yang kecil wahai Rasulullah SAW. Nabi SAW bersabda: Itulah riyak.”

Allah SWT akan berfirman pada hari kiamat kelak: pergilah kepada orang yang kamu hendak tunjukkan amalan kamu kepadanya di dunia dan lihatlah adakah di sisi mereka itu ganjaran (dengan sebab amalan kamu).”  (Hadis riwayat Ahmad 23630 di dalam musnadnya)

Setiap amalan apabila diniatkan ikhlas kerana Allah SWT, maka amalan itu akan diterima oleh Allah dan begitulah sebaliknya.  Sekiranya diniatkan untuk mendapat perhatian, pujian atau meraih sesuatu urusan duniawi, maka ia tidak akan diterima Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:  “Sesungguhnya amalan itu tergantung pada niatnya, dan sesungguhnya amalan seseorang itu akan dibalas dengan apa yang ia niatkan.” (Muttafaqun alaihi, atau disepakati kesahihannya)

Ikhlas itu datang dari hati, riyak juga terbit dari hati, maka kawal dan didiklah hati dengan niat berbuat setiap sesuatu hanya kerana Allah SWT.