Rocketfuel Entertainment Mengorak Langkah ke Luar Negara

Syarikat pengurusan bakat Astro, Rocketfuel Entertainment terus mengorak langkah dalam meluaskan agensi pemasaran bakat, syarikat rakaman serta kandungan digital mereka ke pasaran yang lebih besar.

Dalam sidang media yang diadakan pada Isnin, Rocketfuel memperkenalkan barisan artis dan bakat-bakat baru yang kini bernaung di bawah pengurusan mereka di mana Ash Stymest menjadi taruhan terbaru. Berpengkalan di Los Angeles, bintang kelahiran UK ini sudah terbabit dalam pelbagai projek sebagai model, pelakon dan kini sedang berjinak-jinak dengan dunia muzik.

Ash baru sahaja menandatangani perjanjian global bersama Interscope Records North America (Eminem, Blackpink, Selena Gomez) dan Universal International dengan EP pertama yang bakal dilancarkan dalam bulan-bulan yang mendatang.

Chaleeda Gilbert, bintang antarabangsa Rocketfuel yang pertama sedang menikmati kejayaan hebat dalam kerjaya muzik serta lakonannya.

Kredit foto : IG Chaleeda Gilbert

“Kami bangga untuk mengumumkan bahawa Chaleeda telah dipilih untuk membintangi sebuah siri Netflix Original berjudul The Stranded arahan Jim-Sophon Sakdaphisit (The Promise, Shutter), dan diterbitkan oleh calon Oscar Gary Levinhson (12 Monkeys, Saving Private Ryan),” ujar Admiral Rocketfuel, Murali ‘Moots’ Marimuthu.

Mengenai jaringan kandungan Rocketfuel, 16 Baris yang merupakan projek kolaborasi di antara Rocketfuel Entertainment dan Kartel Records bakal berkembang ke Thailand. Menggunakan nama Sip Hok Bar, program ini akan dihoskan oleh dua bintang hebat dari Thailand, DaBoyWay dan DJAY Buddah dari Thaitanium.

Agensi mereka juga akan bekerjasama dengan rakan perniagaan di Australia untuk melancarkan 16 Bars Australia dan New Zealand tidak lama lagi. Ia sangat memberangsangkan apabila melihat idea tempatan yang dapat dikembangkan dan diterjemahkan ke luar negara dalam pelbagai Bahasa.

“Bercakap tentang perkembangan antarabangsa, pendatang baru dalam dunia nyanyian Masya Masyitah akan ke China untuk mengambil bahagian dalam rancangan realiti popular anjuran Tencent Media berjudul ‘The Coming One (S3).’

Kami sangat berbangga dengan Masya yang juga baru-baru ini terlibat dalam ulangtahun ke-45 kempen Hubungan Diplomatik Malaysia-China, yang dianjurkan oleh Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia,” tambah Murali lagi.

Untuk keterangan lanjut tentang Rocketfuel Entertainment, layari laman sesawang mereka di http://www.rocketfuelent.com/

 

Kredit Foto : Rocketfuel Entertainment