Roh orang mati pulang pada malam Ramadan?

Islam untuk Pemula 03 Mei 2021 Aimy Azhary
Aimy Azhary
Roh orang mati pulang pada malam Ramadan?
Roh orang mati pulang pada malam Ramadan? © Ruslee Yaena | Dreamstime.com

Umat Islam wajib mengimani perihal berkaitan roh orang mati dan alam barzakh, kerana ia termasuk dalam perkara sam’iyyat (perkara-perkara ghaib yang tidak dapat dilihat dengan mata dan tidak diketahui melainkan dengan perantaraan wahyu).

Walaupun begitu, adakalanya terdapat beberapa kefahaman tersebar dalam kalangan masyarakat yang tidak diketahui asal-usulnya. Entah benar atau sebaliknya kefahaman sebegini, seperti kepulangan roh orang mati pada bulan Ramadan.

Pengetahuan tentang roh

Firman Allah SWT:

“Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: Roh itu daripada perkara urusan Tuhanku dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.”

(Surah Al-Isra’, ayat 85)

Ayat ini menunjukkan arahan kepada Rasulullah SAW  supaya menjelaskan kepada orang yang bertanya bahawa pengetahuan tentang roh hanyalah dalam ilmu Allah Taala. Hal ini juga sebagai isyarat supaya manusia akur akan kelemahan lalu menundukkan akal dan jiwa kepada Tuhan Sekalian Alam.

Roh orang mati dan roh orang hidup

Firman Allah SWT dalam surah Az-Zumar, ayat 42:

“Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya).

Ayat ini menandakan bahawasanya roh orang mati tidak dilepaskan kembali ke dunia, meskipun pada bulan Ramadan. Hanya roh orang hidup sahaja yang dikembalikan ke jasad masing-masing lalu mereka akan terbangun daripada tidurnya.

Kebarangkalian tentang punca kekeliruan

Ada kemungkinan bahawasanya kefahaman ini lahir dari kekeliruan memahami satu ayat daripada surah Al-Qadr yang menceritakan tentang Lailatulqadar. Allah Taala berfirman:

“Pada Malam itu, turun malaikat dan ‘Ruh’ (iaitu Jibril) dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);”

Sekiranya kita tidak merujuk tafsir para ulama, sudah pasti kita akan memahami bahawasanya Ar-Ruh itu membawa maksud roh orang mati. Namun, maksudnya yang sebenar ialah gelaran bagi malaikat Jibril a.s.

Imam Fakhruddin Ar-Razi menyatakan dalam tafsirnya, Jibril a.s dibeli gelaran ar-Ruh karena tugasnya yang membawa wahyu kepada para Nabi. Wahyu adalah sumber kehidupan bagi agama, sebagaimana jasad itu hidup karena adanya roh.

Sebagai pengajaran, tanggungjawab menyebarkan dakwah Islam hendaklah berteraskan kepada ilmu yang sahih, bukan dengan ‘menggoreng’ isi-isi agama mengikut hawa nafsu.

Ketahuilah bahawasanya kekeliruan yang berlaku akibat kecuaian para pendakwah tidak mengenal jiwa yang ikhlas atau tidak, kerana kesannya yang buruk adalah perkara yang pasti.