‘Rojak’ Album Terakhir Faizal Tahir

Penyanyi dan komposer terkenal, Faizal Tahir, sememangnya sinonim dengan gimik dan sentiasa muncul dengan pelbagai kejutan buat para peminat.

Daripada hala tuju muzik dan persembahan pentas, sehinggalah ke kempen promosi dan aktiviti sukarelawan, artis berbakat besar ini sering menampilkan kelainan.

Kali ini, Faizal Tahir sekali lagi menggemparkan industri seni dan para peminatnya terutamanya, apabila beliau mengumumkan bahawa album terbaharunya yang berjudul ‘Rojak’ akan menjadi album terakhir buatnya.

Mengumumkan secara rasmi pada majlis pelancaran album kelimanya itu, Faizal Tahir mengakui bahawa pengumuman tersebut bukanlah satu gimik, sebaliknya merupakan satu keputusan yang telah diperhalusi setelah mengambil kira pelbagai faktor.

“Saya ingin memberikan lebih tumpuan kepada keluarga kerana berasakan terlalu banyak perkara yang tidak sempat saya lakukan untuk mereka.

“Selain itu, dengan keadaan industri yang tidak begitu menggalakkan, saya berpendapat mengeluarkan album bukanlah satu pelaburan yang baik.

“Ini kerana dengan era digital pada masa ini, kita perlu bijak mengadaptasi kecanggihan teknologi dan tidak lagi bergantung kepada penjualan album,” ujar Faizal ketika ditemui pada majlis pelancaran album ‘Rojak’ di pejabat Warner Music Malaysia minggu lepas.

Bagaimanapun, Faizal menjelaskan, keputusannya itu tidak bererti beliau akan berhenti berkarya.

“Saya akan banyak membuat kerja-kerja di belakang tabir seperti mencipta lagu serta menguruskan syarikat rakaman saya, Faithful Music.

“Selain itu, saya juga akan memperbanyakkan aktiviti kemanusiaan serta mengutamakan persembahan nyanyian untuk mana-mana konsert amal,” cerita bapa kepada enam orang cahaya mata ini.

Bercerita mengenai album ‘Rojak’, Faizal berkata pemilihan judulnya dibuat berdasarkan lagu-lagu dalam album tersebut yang tidak mempunyai hubung kait dan terdiri daripada pelbagai genre.

“Jika kita lihat lagu-lagu dalam album ini seperti Ragaman, Fire&Water, Kamu dan Until We Meet Again, kesemuanya tidak ada kesinambungan, malahan mempunyai genre muzik yang berbeza.

“Disebabkan itu, idea untuk menggunakan perkataan ‘Rojak’ itu timbul selain turut mengambil kira kepelbagaian kehidupan masyarakat majmuk di negara ini yang turut digelar ‘rojak’ dalam bahasa harian kita,” katanya.

‘Rojak’ memuatkan sembilan buah lagu, dan antara yang pernah dikeluarkan sebelum ini dan menjadi hits termasuk Ragaman, Bisa Aja, Starfeather dan yang terbaharu, Ratu.

Bagi menghangatkan lagi pelancaran album tersebut, Faizal juga telah melancarkan empat video muzik rasmi dalam masa seminggu iaitu untuk lagu Fire & Water (26 Julai 2019), Ratu (31 Julai 2019), Until We Meet Again (1 Ogos 2019) dan Kamu (2 Ogos 2019).

Kesemua video muzik boleh ditonton di saluran YouTube Faizal Tahir.

Sebagai penghargaan buat peminat setianya, Faizal turut melancarkan edisi terhad ‘Rojak Box Set’ yang memuatkan album ‘Rojak’ dan barangan eksklusif seperti set sticker, phone grips, keychain, polaroid yang ditandatangani oleh Faizal sendiri serta poskad dengan ucapan khas daripada beliau.

‘Rojak Box Set’ hanya boleh ditempah secara online menerusi laman web: www.faizaltahir.com.

Album ‘Rojak’ diterbitkan oleh Faithful Music dengan kerjasama Warner Music Malaysia selaku pengedar.

Album fizikal dalam bentuk CD boleh dibeli di kedai-kedai muzik seluruh negara, manakala versi digital boleh didapati di kesemua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox, Deezer dan iTunes bermula 2 Ogos 2019.

Foto: Nor Syariza & YouTube