Rona-Rona Berani ‘Rise of the dUCk’

dUCk Cosmetics kembali lagi dengan set kolaborasi filem baru! Selepas mengeluarkan set kolaborasi bersama filem ‘Crazy Rich Asians,’ kali ini dUCk menampilkan koleksi untuk filem ‘X-Men: Dark Phoenix.’

Kami sempat berbual dengan Pengarah Urusan dUCk, Kho Min-Jee sebelum majlis pelancaran koleksi ini dan katanya beliau sangat teruja dengan set kolaborasi terbaru keluaran terhad ini. “Kami sebenarnya telah duduk berbincang dengan Fox Movies untuk koleksi ini sebelum koleksi ‘Crazy Rich Asians’ tetapi filem itu ditayangkan dahulu. Untuk ‘Crazy Rich Asians’ kami menggunakan produk yang sedia ada, tetapi untuk ‘Dark Phoenix’ kami mempunyai masa kira-kira setahun untuk mencipta koleksi baru.”

dUCk Cosmetics telah bekerja dengan pakar-pakar warna dan formulasi untuk mencipta rona-rona khas untuk dua set pembayang mata  dan empat rona gincu kemasan velvet matte yang menyerlahkan dua sisi berbeza watak utama filem ini—Jean Grey dan Dark Phoenix.

Set pembayang mata ‘Ember’ menggabungkan warna-warna yang cerah untuk mewakili jiwa dan semangat Dark Phoenix manakala set ‘Ashes’ pula sedikit lembut seperti yang sering dikenakan oleh watak Jean Grey.

4 rona baru gincu yang ada dalam koleksi adalah ‘Perfection’ (warna fuchsia cerah untuk mereka yang berani), ‘Madame’ (gabungan warna perang dan merah manggis nan mewah), ‘Flare‘ (perang warm penuh misteri) dan ‘Spark‘ (warna nude klasik untuk siang mahupun malam).



Koleksi ini didatangkan dengan kemasan emas berkilauan yang tampak mewah dan mengandungi elemen-elemen seni daripada poster filem X-Men terkini. Jika anda membeli set lengkap, kotak-kotaknya membentuk huruf X!

Kami sempat mencuba semua produk dalam koleksi ini dan kami rasa ia sangat pigmented dan warna-warna gincu dan pembayang matanya paling menyerlah berbanding semua produk dUCk Cosmetics sebelum ini. Cukup berbaloi memilikinya.

Koleksi Edisi Terhad Rise of the dUCk boleh dibeli sekarang di The dUCk Store KLCC, The dUCk Cosmetic Store Pavilion, dan The dUCk Store di Haji Lane, Singapura. Semua produk juga boleh dibeli dari semua kedai FashionValet dan dalam talian di www.fashionvalet.com . Bukan itu sahaja, koleksi ini juga boleh dibeli di www.sephora.my/brands/duck-cosmetics dan www.sephora.sg/brands/duck-cosmetics serta di Sephora KLCC, Sephora IOI City Mall, Sephora Aeon Klebang, Sephora Komtar JBCC dan Sephora Suria Sabah.


Foto: Ihsan dUCK Cosmetics