Roti makanan ruji pilihan

Dunia Hanita Hassan 16-Jun-2020
Budaya Bedouin dan roti © Aliaksei Smalenski | Dreamstime.com

Roti adalah makanan tersedia paling tua di dunia.  Ia dipercayai bermula sejak tahun 10,000 SM apabila bangsa Mesir kuno dan Mesopotamia membuat adunan sederhana daripada campuran gandum dan air.  Kemudian bahan ini dimasak di atas api dan membolehkannya tahan beberapa hari.

Roti merupakan satu kumpulan makanan ruji yang diperbuat daripada doh tepung dan air melalui pembakaran.  Roti menjadi makanan yang popular dan paling lama dan penting semenjak wujudnya pertanian.

Sekitar 3,000 SM bangsa Mesir telah belajar membuat adunan roti yang difermentasi atau diperap menggunakan campuran tepung gandum, air dan sejenis ragi atau yis.  Bangsa Mesir juga dipercayai sebagai pencipta oven tertutup pertama untuk memanggang roti bersaiz besar sekali gus.

Eropah hanya mula merasai keenakan roti bermula tahun 1,000 SM apabila bangsa Yunani mengambil teknologi pembuatan roti daripada Mesir.  Beberapa pembaharuan dibuat  dalam penyediaan adunan roti sehingga ia menjadi makanan ruji utama dalam diet kebanyakan sejarah Eropah.

Roti terawal yang ditemui di dunia yang diperbuat daripada bijiran ialah capati, naan, tortilla Mexico, roti pita dan Scotland oatcake.  Hari ini, roti sering dijadikan makanan sarapan kerana ringkas, mudah, berkhasiat serta boleh dihidangkan dalam pelbagai variasi dan bentuk.

Roti gandum tulen ialah roti berserat tinggi.  Ia mengandungi serat gandum yang tidak hancur, tidak boleh diayak dan jika digunakan, hasil roti atau muffin akan menjadi agak berat.

Roti putih pula terhasil daripada tepung roti.  Ia berwarna putih kerana dibuat daripada tepung gandum biasa.  Teksturnya jarang seperti span, lebih lembut dan senang hadam.  Roti manis dibuat dengan menggunakan tepung roti.  Ia boleh dipelbagai menggunakan doh yang sama.

Bagi suri rumah yang berminat menghasilkan roti, bahan asas yang diperlukan tidak banyak.  Bahannya seperti tepung gandum berprotein tinggi, yis, cecair, gula, garam, lemak dan telur.  Adun kesemua bahan ini dan rehatkan ia selama satu jam.  Apabila doh naik, tumbuk-tumbukkan doh dan bentuk mengikut kehendak anda.  Kemudian biarkan doh naik sebelum dibakar dalam oven.

Penggunaan tepung berprotein tinggi akan menjadikan roti anda lebih naik, ringan serta mempunyai rongga yang besar dan tekstur yang sekata.  Sekiranya anda menggunakan tepung jenis ‘whole wheat flour’ roti akan menjadi lebih padat, berat dan menghasilkan rongga yang lebih kecil.

Yis berperanan penting sebagai kulat yang berfungsi mengembang serta meringankan roti serta memberi rasa dan aroma pada roti.  Ia paling aktif pada suhu di antara 27 hingga 46 darjah celcius.  Terdapat yis kering dan basah.  Paling mudah adalah menggunakan yis segera yang berbentuk biji-biji kecil.

Ketika sihat, kita makan dan minum apa sahaja yang terlintas di fikiran tanpa memikirkan baik buruknya.  Hari ini, penyakit tidak berjangkit seperti darah tinggi, kencing manis, penyakit kardiovaskular dan hepatitis semakin meningkat.

Justeru dengan mengamalkan pemakanan sihat, termasuk memasak sendiri makanan  di rumah, membakar roti untuk makanan seisi keluarga  dapat mengawal pelbagai punca penyakit.