Roti Murtabak, intinya telur, daging dan bawang?

Makanan Hanita Hassan 13-Sep-2020
dreamstime_s_161405293
Sedapnya Murtabak! © Ravindran Smith | Dreamstime.com

Murtabak adalah sejenis roti yang serupa seperti roti canai atau prata. Ia hanya dibezakan mengikut tempat melalui bahan yang digunakan. Murtabak adalah roti yang berlapis-lapis dengan inti daging cincang, telur, rempah dan bawang. Tidak kurang juga yang menggunakan inti ayam cincang serta keju atau daging kambing dan sayur serta berinti kentang.

Makanan jalanan ini bukan sahaja digemari di Malaysia tetapi juga di Singapura, Indonesia, Brunei dan Thailand.  Begitu juga di Semenanjung Tanah Arab seperti Arab Saudi dan Yaman.  Intinya sering diperisakan dengan bawang putih, bawang merah, bawang besar dan telur.  Makanan ini adalah hidangan istimewa kerana intinya padat.  Ada juga yang menggunakan inti sayur bagi penggemar sayur-sayuran.

Murtabak boleh dimakan begitu sahaja atau dengan kuahnya.  Ada restoran yang menyajikan dengan kuah manis dan tidak kurang juga yang menghidangkan bersama kari dan bawang jeruk atau timun berkuah tomato.   Ia menjadi pilihan terutama pada bulan Ramadan untuk juadah berbuka puasa kerana hidangannya ringkas tetapi mengenyangkan.

Jika dilihat kepada sejarahnya, Murtabak adalah perkataan yang berasal dari Arab iaitu ‘Mattabaq’ yang bermaksud ‘Lipat’.  Ia popular dalam kalangan imigran Kerala yang tinggal di sana.  Kerala adalah tempat asal usul ‘Barrota’ (roti canai), versi di Yaman meletakkan inti daging kambing dalam lipatan roti.  Dalam bahasa Kerala, ia dipanggil ‘Mutabar’.  ‘Muta’ bermaksud telur dan ‘Bar’ pula ringkasan dari perkataan Barotta yang bermaksud ‘Roti’.

Di Kerala ia dipanggil barrota, manakala di kawasan Tamil dipanggil Prata dan sampai di Malaysia digelar Roti Canai.  Di Malaysia dan Singapura, terdapat pelbagai jenis Murtabak yang menjadi kegemaran ramai.  Antaranya Murtabak Mengkasar yang popular di Pekan, Pahang dan Murtabak Raja di Kelantan.  Murtabak Mengkasar adalah murtabak yang disalut telur manakala Murtabak Raja intinya tebal dan berlapis-lapis seperti lasagna.

Bagi penggemar Murtabak yang mahu membuatnya sendiri, bolehlah mula mengadun rotinya seperti membuat roti canai.  Bahan-bahannya adalah empat cawan tepung gandum, sebiji telur, satu sudu besar susu pekat manis, dua sudu besar marjerin dan air serta garam lebih kurang satu setengah cawan. Campur kesemua bahan untuk kulit murtabak dan uli hingga tidak melekat pada tangan.  Apabila mencurah air yang dicampur garam, curah sedikit demi sedikit.  Uli sehingga doh lembut dan licin serta biarkan 10 minit dan uli lagi. Bulat-bulatkan dan sapu sedikit marjerin supaya doh tidak melekat.  Perap lebih kurang dua hingga tiga jam atau semalaman.

Sementara menunggu roti, anda boleh mula menyediakan intinya dengan menggunakan 300 gram daging cincang, bawang besar dan bawang putih yang dipotong dadu,  serbuk rempah kari, garam dan gula secukupnya, seulas bawang dipotong nipis dan enam biji telur.  Tumis bawang besar dan bawang putih dadu.  Masukkan daging cincang dan rempah kari, garam dan gula serta masak hingga kering.  Setelah siap, matikan api dan sejukkan.  Apabila daging sudah suam, campurkan telur dan bawang.  Kacau sebati.

Kibarkan doh roti (sapu minyak sedikit) atau tarik nipis, masukkan sedikit inti, lipat dan tutup semula.  Goreng dengan api perlahan sehingga masak.  Setelah siap boleh dihidang bersama kuah, jeruk bawang merah, kari atau makan begitu sahaja.  Selamat mencuba.