Rottnest Island Tarikan Mesti Pergi Jika ke Perth

Truly amazing! Itu yang boleh digambarkan apabila menjejak kaki ke Rottnest Island, Australia Barat. Keindahan lanskap alam di sini sukar digambarkan dengan kata-kata.

Jika anda punya peluang bercuti ke Perth, lebih-lebih lagi dalam tempoh waktu yang singkat, Rottnest Island jangan dilepaskan. Mesti pergi kerana ianya berbaloi!

Lagipun Rottnest Island yang juga dikenali sebagai ‘Rotto’ ini terletak tidak jauh dari pusat bandar Perth. Cara mudah untuk ke sana ialah dengan menaiki feri Rottnest Express.

Perjalanan dari Barrack Street Jetty mengambil masa kira-kira 90 minit perjalanan. Sepanjang perjalanan boleh menikmati pemandangan Sungai Swan yang mendamaikan.

Bagaimanapun jika anda tidak suka menaiki feri terlalu lama, bolehlah mengambil feri di Fremantle yang terletak kira-kira setengah jam pemanduan dari pusat bandar Perth. Dari jeti B-Shed, Fremantle perjalanan hanya mengambil masa 25 minit dan tambangnya lebih murah.

Cara terbaik untuk mengelilingi pulau ini adalah dengan berbasikal.  Sebabnya anda boleh berhenti sesuka hati apabila terjumpa spot menarik untuk berswafoto atau bergambar bersama rakan-rakan.

Satu tip, beli tiket lebih awal kerana tiket feri sering kehabisan terutamanya di hujung minggu. Beli pakej yang menawarkan tiket feri dua hala, basikal untuk kegunaan harian dan helmet. Untuk harga semasa boleh semak dan buat pembelian secara online di http://sightseeingpassaustralia.com

Perlu diingatkan keluasan pulau ini ialah 19 kilometer persegi. Jadi, kalau berbasikal tu memang menguji stamina sebab bentuk muka bumi di sini bukannya mendatar. Naik bukit, turun bukit. Namun begitu, cukup menyeronokkan kerana hembusan bayunya dingin.

Memang ada ada pakej bas shuttle ditawarkan, tetapi thrillnya tidak sehebat berbasikal. Sesekali apa salahnya gunakan kekuatan otot anda itu. Uji stamina! Sebagai bonus boleh membakar kalori, jadi boleh makan lebih ketika bercuti.

Apa yang menarik di Rottnest Island?

Banyak aktiviti menarik yang boleh dilakukan, terutamanya jika anda ke sini pada musim bunga atau musim panas.

Selain berbasikal, boleh berenang, berkayak, snorkeling, whale watching dan tidak ketinggalan selfie bersama Quokka, haiwan comel yang hanya ada di Rottnest Island. Tak perlu susah-susah mencari kerana Quokka ini banyak berkeliaran.

Memandangkan swafoto with Quokka ini sudah menjadi trend kepada setiap pengunjung, jadi anda janganlah lepaskan peluang. Cuma kena banyak bersabar. Nampak sahaja Quokka ini jinak dan manja, tetapi bukan mudah sebenarnya. Selfie stick sangat membantu untuk dapatkan swafoto terbaik!

Dengan berbasikal , selain dapat menikmati pemandangan laut yang cantik, anda juga berpeluang menyaksikan pemandangan tasik yang indah.  Terdapat lebih 10 tasik di Rottnest Island. Serpentine Lake, Goverment House Lake dan Pink Lake antara yang menarik untuk merakam memori.

Jika ingin mandi-manda, boleh singgah di Porpoise Bay terlebih dahulu sebelum meneruskan eksplorasi. Pantai di sini sesuai untuk mandi-manda dan juga aktiviti memancing.

Parker Point, Little Salmon Bay juga sesuai untuk memancing, manakala Salmon Bay ideal untuk aktiviti snorkeling. Satu sahaja masalah hendak bermain air di sini, suhunya sejuk.

Jadi mungkin ada yang tidak sanggup berendam dan memilih untuk menikmati keindahan alam dari tepian pantai sahaja. Apa pun pilihan anda, ianya tetap berbaloi.

Jika stamina mantap, masih banyak lokasi menarik yang boleh diterokai.  Salah satunya Parakeet Bay yang merupakan pantai tercantik di sini. Sebelum pulang ke jeti pastikan singgah ke Wadjemud Lighthouse yang bolehlah dikatakan ikon Rottnest Island.

Jangan terlalu memaksa diri untuk terokai pulau ini sehingga percutian anda terlalu memenatkan. Dalam masa sehari mana mungkin anda boleh melawat 63 pantai dan 20 teluk dengan berbasikal.  Kalau mahu singgah ke semua tempat, adalah lebih baik bermalam sahaja di sini untuk semalam dua. Percutian lebih santai, banyak tempat boleh dilawati.

Kredit foto : Tuan Zailan