Rukun solat – kita semak semula

Semak semula rukun solat © Akulamatiau | Dreamstime.com

Solat merupakan satu ibadah yang wajib dilakukan oleh seseorang Muslim di muka bumi ini. Ibadah solat ini telah difardukan ke atas umat Islam pada malam peristiwa Israk dan Mikraj.

Kebanyakan dari kita semua mungkin sudah tahu akan rukun solat kerana sudah diajar sejak dari kecil sama ada di rumah atau di sekolah. Bagi yang tidak mengingati rukun solat atau ingin menyemak semula perkara ini, tulisan mengenai rukun sembahyang ini dikongsikan untuk anda.

Rasulullah SAW bersabda: “Katanya, andai kata pada pintu seseorang di antara kamu ada sebuah sungai dan ia mandi di situ sebanyak lima kali dalam sehari, apakah masih ada kekotoran yang masih tertinggal dibadannya?” Para sahabat menjawab, tidak ada kekotoran sedikit pun yang tertinggal dibadannya. Baginda bersabda lagi: “Demikianlah bandingan sembahyang lima waktu, dengan mengerjakan semua itu. Allah akan menghapuskan semua dosanya dan kesalahannya.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Secara ringkasnya, rukun solat terbahagi kepada 13  perkara. Jika ada salah satu rukun yang disenaraikan ini tertinggal, maka tidak sah hukum solat:

  1. Berdiri betul (qiyam) – berdiri  dengan tegak dan lurus sambil dada menghadap kiblat
  2. Niat
  3. Takbiratul ihram
  4. Membaca surah Al-Fatihah
  5. Rukuk dengan tamakninah – membongkokkan badan 90 darjah dan berhenti seketika
  6. Iktidal dengan tamakninah – bangun daripada rukuk dan berhenti seketika
  7. Sujud dua kali dengan tamakninah – sujud dan berhenti seketika. Anggota badan yg terlibat ketika sujud adalah dahi, kedua-dua telapak tangan, kedua-dua lutut dan kedua-dua hujung jejari kaki
  8. Duduk antara dua sujud – duduk sebentar di antara sujud pertama dan sujud kedua
  9. Duduk tahiyat akhir – duduk di akhir solat sebelum memberi salam
  10. Membaca tahiyat akhir
  11. Membaca selawat ke atas Rasulullah SAW
  12. Memberi salam (salam yang pertama) – menoleh ke kanan sambil melafazkan salam
  13. Tertib – wajib mengikut turutan rukun solat seperti yang telah ditetapkan

Rukun solat pula terbahagi kepada tiga bahagian:

Rukun Qauli – rukun yang perlu dilafazkan dan didengari oleh telinga sendiri

  • Takbiratul ihram
  • Membaca Al-Fatihah
  • Membaca tahiyat akhir
  • Selawat ke atas Rasulullah SAW
  • Salam yang pertama

Rukun Fi’li – rukun yang melibatkan pergerakan atau perbuatan

  • Berdiri betul (qiyam)
  • Rukuk
  • Iktidal
  • Sujud
  • Duduk antara dua sujud
  • Duduk tahiyat akhir

Rukun Qalbi- rukun yang dilakukan di dalam hati

  • Niat
  • Tertib

Semestinya, rukun-rukun solat ini perlulah disertai dengan bacaan yang tertentu. Begitulah rukun solat yang perlu kita ketahui. Rukun solat ini penting agar solat fardu yang kita tunaikan adalah sah dari segi syarak. Semoga ibadah solat kita ini diterima oleh Allah SWT.