Rumah kotor, jangan jadikan tradisi!

Keluarga Siti Nur Baiin Che Harun
Pendapat oleh Siti Nur Baiin Che Harun
Rumah kotor, jangan jadikan tradisi!
Rumah kotor, jangan jadikan tradisi! © Odua | Dreamstime.com

Mengapa kita perlu menerapkan budaya menjaga kebersihan yang dianjurkan dalam Islam kepada keluarga? Lebih-lebih lagi kepada anak-anak yang sedang membesar. Bak kata pepatah, ‘Melentur buluh biarlah dari rebungnya’.

Ia sangat penting kerana apabila ‘Nasi sudah menjadi bubur’, agak mustahil dan ia menjadi lebih sukar untuk kita membentuk dan memperbetulkannya kembali.

Kita sebagai ibu bapalah yang perlu menjadi pencanting yang hebat dalam melahirkan generasi Islami. Seperti sabda Rasulullah SAW:

“Setiap anak yang dilahirkan itu adalah umpama kain putih (fitrah), ibu bapalah yang bertanggungjawab mewarnakan dan mencorakkannya, sama ada menjadi Yahudi, Nasrani dan Majusi.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Rumah kotor, jangan jadikan tradisi

Rumah kotor jangan dijadikan tradisi. Kenyataan ‘Rumah bersepah tanda anak bijak’ kerap kali menjadi tajuk perbincangan di kalangan ibu bapa dan juga masyarakat.

Mengapa perlu kita hendak memilih untuk tegakkan benda yang tidak dianjurkan dalam Islam? Sedangkan kita masih ada ajaran Isalam yang lebih baik untuk diamalkan.

Usah memilih untuk memperdebatkan atau menyokong di pihak yang di mana kita memihak. Dalam membesarkan anak-anak, suasana yang mana lebih baik sama ada suasana yang bersih atau kotor? Tepuk dada tanya iman.

Allah SWT menyukai yang suci, kebersihan dan keindahan

Terdapat beberapa hadis yang menunjukkan mengapa kita perlu menjaga kebersihan. Dari Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya Allah SWT itu suci yang menyukai hal-hal yang suci, Dia Maha Bersih yang menyukai kebersihan, Dia Maha Mulia yang menyukai kemuliaan, Dia Maha Indah yang menyukai keindahan, kerana itu bersihkanlah tempat-tempatmu.”

(Hadis riwayat Tirmidzi)

Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

“Sesungguhnya Allah itu cantik (indah) dan bersih. Ia amat mencintai kepada perkara yang cantik (indah) dan bersih.”

(Hadis riwayat al-Bazzar)

Islam menganjurkan dan mementingkan kebersihan

Islam sangat menganjurkan untuk menjaga kebersihan tidak kira kebersihan diri, pakaian, rumah, persekitaran dan lain-lain. Kerana kebersihan adalah sebahagian daripada iman. Ia penting dalam membentuk akhlak mulia dan meningkatkan kualiti ibadah seharian kita.

Budaya yang tidak suka kepada kebersihan lebih cenderung kepada ketidakselesaan dan boleh menjejaskan kesihatan. Hadis yang diriwayat oleh Imam Muslim, dari Abu Malik al-As’hari, bersabda Rasullullah SAW:

“Kebersihan itu sebahagian daripada iman.”

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

“…bersihkanlah halaman dan pekarangan rumah kamu daripada kotoran dan sampah- sarap. Janganlah kamu menyerupai rumah orang Yahudi.”

(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Didik anak menjadi pembersih dan bertanggungjawab

Tugas mendidik anak supaya menjadi seorang yang pembersih dan bertangggungjawab adalah terletak di bahu ibu bapa. Kita tidak boleh persalahkan guru di sekolah. Orang Islam perlu dilihat bersih dan sentiasa kemas untuk menunjukkan akhlak yang baik kepada orang bukan Islam, malah lebih disenangi untuk mudah untuk didekati.

Didik anak supaya menjadi orang yang suka kepada kekemasan, bertanggungjawab dan cakna kepada hukum kebersihan. Biasakan anak-anak dengan suasana yang bersih dan tersusun supaya mereka mengemas semula permainan selepas bermain.

Nabi Muhammad SAW sangat mengambil berat soal kebersihan berpakaian dan menjaga penampilannya supaya dilihat sentiasa kemas, bersih dan bergaya.

Hadis dan dalil anjuran menjaga kebersihan

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“…Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertaubat dan orang yang membersih dirinya.”

(Surah al-Baqarah, ayat 222)

Khatib al-Baghdadi juga ada meriwayatkan:

“Sesungguhnya Islam itu bersih. Oleh itu, jagalah kebersihan, tidak ada yang masuk syurga melainkan orang yang bersih”.

Sahabat Ibnu Hanzaliah berkata, bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda kepada sahabat dalam perjalanan bertemu saudara mereka.

“Sesungguhnya kamu akan datang (menemui) saudara kamu, oleh itu perbaikilah ar rihal (alat kelengkapan kenderaan yang diguna ketika menunggang kuda) dan baguslah semua pakaian kamu sehingga kamu kelihatan menarik, hebat dan berhemah di kalangan manusia. Ini kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada busuk dan sangat buruk.”

(Hadis riwayat Abu Daud dan al-Hakim)

Sebagai penutup, menjaga kebersihan mampu membentuk disiplin diri, sekaligus membina otak yang lebih bijak dan cerdas.