Rumah Panjang tradisi masyarakat Sarawak

Budaya Chan Abdullah 22-Ogo-2020
Rumah Panjang tradisi masyarakat Sarawak © Gualtiero Boffi | Dreamstime.com

Negara Malaysia yang terdiri dari masyarakat pelbagai kaum sememamngnya kaya dengan kepelbagaian budaya. Kepelbagaian budaya ini menjadikan negara Malaysia sebagai sebuah negara yang begitu unik sekali.

Salah satu budaya yang unik ialah Rumah Panjang atau Longhouse di negeri Sarawak.

Rumah Panjang amat terkenal di negeri Sarawak. Rumah panjang biasanya didiami oleh suku kaum Iban, Melanau, Orang Ulu dan Bidayuh. Rumah panjang banyak dibuat berhampiran sungai di mana ianya menjadi tempat laluan utama bagi masyarakat di Sarawak. Kebiasaannya rumah panjang yang dibina mempunyai 20 hinga 80 buah bilik ini mampu menampung seramai 200-800 orang.

Rumah Panjang mempunyai ciri-ciri keistimewaannya yang tersendiri. Rumah Panjang dibina dengan menggunakan tiga jenis kayu keras seperti kayu belian dari kepulauan Borneo agar ianya  tidak mudah reput dan runtuh. Atap bumbungnya pula diperbuat daripada daun hutan yang tebal. Manakala dinding rumah  pula terdiri daripada kulit kayu terentang atau buluh yang boleh dibelah dua.

Lantai Rumah Panjang dibuat menggunakan buluh, papan dan kulit kayu. Tangga rumah pula diperbuat daripada sebatang kayu bulat yang ditakik menggunakan beliong. Disebabkan proses iu, ianya digelar sebagai tangga takik.

Rumah Panjang terdiri daripada 3 ruang utama iaitu  tanju yang mempunyai dua bahagian (serambi atau beranda terbuka), ruai (ruang terbuka) dan juga bilik. Sadau adalah bahagian atas bilik. Ruai digunakan sebagai tempat tidur anak gadis. Selain itu ianya juga turut digunakan untuk menyimpan bijian dan juga perkakas.

Rumah Panjang Bidayuh Sarawak terbahagi kepada tiga bahagian utama iaitu bilik utama, awah dan tamu. Biasanya suku kaum Bidayuh akan meletakkan barang peribadi milik keluarga dan keturunan mereka di dalam bilik ini. Selain itu, ruang ini berfungsi sebagai tempat tidur pada waktu malam.

Awah pula adalah bahagian pelantar luar Rumah Panjang yang kebiasaannya bertutup dan beratap. Ruang ini dijadikan tempat untuk menjalankan aktiviti harian seperti menganyam, berbual, membuat peralatan dan bertani. Bukan itu sahaja, ruang awah ini juga dijadikan sebagai upacara perayaan dan keagamaan seperti upacara perkahwinan.

Tanju adalah ruang bahagian terbuka dan biasanya tidak bertutup ataupun beratap. Tanju digunakan untuk menjemur hasil tuaian seperti jagung.

Begitulah serba sedikit keunikan yang ada pada Rumah Panjang Sarawak. Warisan dan budaya adalah identiti bangsa dan negara Malaysia yang seharusnya dipelihara. ‘Yang lama dikelek, yang baharu didukung’. Dalam kemajuan moden, usahlah kita melupakan rumpun budaya kita.