Rundingan kemerdekaan Tanah Melayu

Kehidupan Hanita Hassan 31-Ogo-2020
dreamstime_s_173340968
Jalur Gemilang di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur © Abdul Razak Abdul Latif | Dreamstime.com

Setiap tahun tanggal 31 Ogos, rakyat Malaysia akan mengenang kembali detik negara mencapai kemerdekaan. Pembentukan negara Malaysia agak unik kerana ia dilakukan tanpa perlu mengangkat senjata atau pertumpahan darah menentang penjajah sebaliknya melalui meja rundingan.

Rombongan kemerdekaan telah berangkat ke London pada 1 Januari 1956 menaiki kapal laut MV Asia dari Singapura ke Karachi, Pakistan. Kemudian dari Karachi, mereka meneruskan penerbangan ke Keherah seterusnya ke London.  Wakil Raja Melayu terdiri daripada  Dato’ Panglima Bukit Gantang, Abdul Aziz Othman, Dato’ Mohd Seth dan Dato’ Nik Ahmed Kamil dan wakil Parti Perikatan diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Dr. Ismail, Tun H.S. Lee dan Tun Abdul Razak Hussein.

Semasa Persidangan UMNO di Dewan Hang Tuah, Bandar Hilir Melaka sekitar tahun 1955, para serikandi UMNO telah menyerahkan barang kemas yang ada di badan seperti gelang, loket, subang, pin baju untuk didermakan sebagai  sokongan membiayai rombongan Tunku ke London. Kaum lelaki pula menyerahkan tongkat berkepala emas, jam tangan dan lain-lain barangan berharga.

Rombongan Tunku tiba di London pada 14 Januari 1956 dan berunding dengan perwakilan kerajaan British, Setiausaha Negara bagi Tanah Jajahan, Pesuruhjaya Tinggi British di Persekutuan Tanah Melayu dan lain-lain selama tiga minggu (16 Januari – 6 Februari 1956).

Akhirnya, kerajaan British akur memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu dan Perjanjian London termetrai ditandatangani oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 8 Februari 1956 di Lancaster House, London mewakilkan kerajaan Tanah Melayu dengan Alan Lennox Boyd, Setiausaha Tanah Jajahan British bagi pihak kerajaan British.

British sedar bahawa mereka tidak dapat menghalang kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu tetapi dalam masa yang sama mereka cuba mempertahan kepentingan mereka di Tanah Melayu.

Dalam Perjanjian London, tarikh kemerdekaan ditetapkan iaitu pada 31 Ogos 1957.  Suruhanjaya bebas gubal Perlembagaan dan Parti Perikatan tidak akan mengambil alih perniagaan. Perjanjian pertahanan dengan British ditandatangani bagi menjaga keselamatan dan kepentingan ekonomi British di Tanah Melayu. Konsep Raja Berperlembagaan dikekalkan, Kuasa pusat dibahagi dengan kuasa negeri diteruskan.

Rombongan kemerdekaan tiba di Lapangan Terbang Batu Berendam pada 20 Februari 1956 menaiki pesawat Malayan Airways dan disambut meriah oleh pelbagai lapisan masyarakat. Rombongan Tunku diarak ke Padang Merdeka, Banda Hilir, Melaka. Disaksikan lebih 100,000 orang, Tunku Abdul Rahman Al-Haj berucap kemudian mengisytiharkan tarikh kemerdekaan negara.

Sebaik sahaja Tunku melaungkan ‘Merdeka’ sebanyak tiga kali dan serentak pengumuman tersebut, teriakan dan laungan merdeka bergemuruh di Padang Banda Hilir, Melaka. Bumi Melaka adalah saksi peristiwa bersejarah menjelang merdeka.

Perjuangan dan pengorbanan para pemimpin terdahulu telah menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan makmur. Justeru teruslah bersatu dan tingkatkan semangat patriotisme supaya negara terus aman, makmur serta harmoni.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman taatilah Allah dan taatilah Rasul dan para pemimpin di kalangan kamu.”  (An-Nisa, ayat 56)

Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya: “Sesiapa taat kepada pemimpin maka dia telah taat kepadaku dan sesiapa yang menderhakai pemimpin maka dia telah derhaka kepadaku.”  (Hadis riwayat Bukhari no 2957)