Sabar kunci kejayaan insan bertakwa

Sahsiah Hanita Hassan 22-Jul-2020
Sabar kunci kejayaan © Ellinnur Bakarudin | Dreamstime.com

Sabar membawa erti menahan atau meninggalkan.  Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, sabar ialah tidak lekas marah atau  putus asa, kuat menghadapi sesuatu kesakitan dan tidak tergopoh-gopoh berbuat sesuatu.

Sifat sabar akan membuatkan kita berasa tenang, tenteram dan lapang hati.  Sabar juga adalah sifat terpuji yang harus dimiliki oleh setiap orang yang beriman kepada Allah SWT.

Dalam Islam, ada tiga jenis kesabaran iaitu sabar dalam ketaatan, sabar dalam menghadapi musibah dan sabar dalam menjauhi maksiat. Apabila memerlukan kita melaksana perintah Allah SWT, kita selalu berasa berat. Di sinilah kita memerlukan kesabaran yang tinggi.

Sabar sebelum melakukan ketaatan ialah dengan membetulkan niat, sabar ketika mengerjakan ketaatan supaya tidak lalai dan sabar selepas beramal iaitu tidak melihat diri sendiri dengan pandangan ujub.

Sabar akan mendorong  kita istiqamah melaksana kewajipan semata-mata kerana Allah SWT. Kita solat tepat waktu, solat secara berjemaah, berpuasa, menjaga lisan, hati dan fikiran serta suka menuntut ilmu.

Sekiranya anda ingin berjaya, anda memerlukan sifat sabar yang cukup tinggi.  Allah SWT telah menyebut tentang sabar di dalam al-quran.  Antaranya dalam surah al-Baqarah, ayat 153 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.”

Kesabaran yang tinggi amat perlu untuk meninggalkan maksiat dan perkara-perkara  haram.  Sebenarnya, Yang Maha Pencipta menjadikan sesuatu untuk turut menilai keimanan kita.

Apabila menghadapi ujian, anda juga hendaklah bersabar.  Ketentuan Allah SWT dalam menghadapi kesakitan, kerugian harta benda atau kehilangan orang tersayang adalah satu ujian.  Sama ada orang mukmin atau kafir, semua akan melalui detik ujian ini.

Walau bagaimanapun, yang menentukan bezanya ialah keredaan dan ketenangan kepada keyakinan anda terhadap Allah SWT yang sedang menguji hamba-Nya.  Inilah yang dikatakan sabar.

Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:  “Dan sungguh akan Kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan.  Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.”  (Surah al-Baqarah, ayat 155)

Apa pun ujian yang datang, anda hendaklah bersabar, tidak berputus asa dan terus melihat sesuatu dalam kaca mata yang baik.  Menahan diri daripada melakukan perkara yang dilarang dan bersungguh-sungguh menyembah Allah SWT tidak kira ketika susah atau senang.

Teladani kesabaran Rasulullah SAW yang digelar Ulul Azmi.  Baginda mempunyai tingkat kesabaran yang tinggi dalam menyebarkan dakwah.  Sifat sabar dianggap sifat mahmudah yang boleh mendorong anda menjadi insan bertakwa.

“Dan jika kamu membalas kejahatan (mereka), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan sama seperti ditimpakan kepada kamu dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang yang sabar.

Dan bersabarlah (Wahai Muhammad) terhadap perbuatan dan telatah golongan ingkar itu) dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah, dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan.”  (Surah An Nahl, ayat 126-127)

Semoga kita dapat mengharungi apa jua rintangan dengan penuh sabar untuk mengecapi kejayaan.