Sahabat Baik Membawa Ke Syurga

Sahsiah Rahayu Mat Nah 18-Jul-2019

Mencari seorang sahabat baik bukanlah mudah. Seorang sahabat baik, bukan sahaja bersama kita di kala gembira, namun dia sentiasa ada di sisi, sama ada ketika suka, duka, susah mahupun senang.

Sahabat yang berhati mulia akan membawa kita ke jalan Allah. Sebab itu, sejak dari kecil lagi ibu dan bapa kita telah berpesan supaya bergaul dengan teman-teman yang boleh membawa ke arah kebaikan.

Rasulullah bersabda, “Seseorang itu adalah berdasarkan agama sahabatnya, maka perhatikan seseorang itu siapakah sahabatnya.”

Anda sebenarnya tahu dan boleh menilai sendiri melalui cerminan sahabat yang baik atau sebaliknya.

Carilah sahabat yang boleh menegur apabila kita lalai. Carilah sahabat yang sentiasa mengajak kita ke arah kebaikan.

Carilah sahabat yang sanggup bersusah payah, berbakti untuk agama dan beribadah kerana Allah. Pendek kata, sahabat yang boleh membawa kita ke syurga.

Terdapat sebuah hadis yang menerangkan tentang perkara ini:-

“Apabila penghuni syurga telah masuk ke dalam syurga lalu mereka tidak menemukan sahabat-sahabat mereka yang selalu bersama mereka dahulu di dunia, maka mereka pun bertanya kepada Allah:

“Ya Rabb! kami tidak melihat sahabat-sahabat kami yang sewaktu di dunia solat bersama kami, puasa bersama kami dan berjuang bersama kami.”

Maka Allah berfirman, “Pergilah ke neraka, lalu keluarkanlah sahabat-sahabatmu yang di hatinya ada iman, walau hanya sebesar zarah.”(Ibnu Mubarak dalam kitab Az-Zuhd).

Jika anda jelas dan faham tentang nilai dan kekuatan seorang sahabat ini, pasti anda tidak sewenang-wenangnya memilih teman. Cuba fikirkan sejenak, berapa ramai di antara teman-teman anda layak digelar sahabat?

Adakah mereka sentiasa ada ketika anda memerlukan? Adakah mereka selalu mendengar apabila anda ingin mengadu? Dan yang paling penting, adakah mereka mengajak anda melakukan kebaikan?

Berikut adalah ciri-ciri seorang sahabat yang baik sebagaimana pesanan Al-Qamah (seorang sahabat Rasulullah SAW) kepada anaknya,

“Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut.”

1) Pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya. Dia adalah hiasan diri kita dan jika kita dalam kekurangan nafkah, dia suka mencukupi keperluan.

2) Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, dia suka menghitung-hitungkan (menyebutnya).

3) Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu dan dianggap sangat berguna, dan jika ia mengetahui mengenai keburukan dirimu ia suka menutupinya.

4) Pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jikalau engkau diam, dia mula menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka membantu dan meringankanmu serta menghiburkanmu.

5) Pilihlah sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka membenarkan ucapan dan bukan selalu mempercayainya saja.

Jikalau engkau mengemukakan sesuatu persoalan yang berat dia suka mengusahakannya dan jika engkau berselisih dengannya, dia suka mengalah untuk kepentinganmu.

Sumber : www.facebook.com/DrAhmadSanusi / www.facebook.com/UkhwahFirdausiAnnisa

Kredit foto : Matheus Ferrero, Unsplash