Sahabat bijak Rasulullah SAW, Umair bin Saad r.a semasa kecil

Pendidikan Hanita Hassan
Hanita Hassan
sahabat bijak Rasulullah SAW, Umair bin Saad r.a semasa kecil
Sahabat bijak Rasulullah SAW, Umair bin Saad r.a semasa kecil © Yurasova | Dreamstime.com

Umair bin Sa’ad al-Ansari r.a telah bergelar yatim sejak kecil.  Ayahnya meninggal dunia tanpa meninggalkan harta. Ibunya kemudian dilamar oleh seorang kaya raya dari kalangan suku Aus bernama Julais bin Suwaid.

Beliau sangat disayangi oleh bapa tirinya seperti anak sendiri, memenuhi segala keperluannya dan menggantikan ayahnya yang telah meninggal dunia.

Umair bin Saad r.a semasa kecil, sahabat Rasulullah SAW yang bijak

Sebelum berusia 10 tahun, Umair  r.a telah memeluk Islam. Dalam usia yang muda itu, Umair tidak pernah tertinggal solat berjemaah di belakang Rasulullah SAW.  Kehidupannya berjalan lancar sehinggalah terjadinya peristiwa di mana bapanya Julais mengutuk tentang kebenaran kenabian Baginda.

Julais mengatakan bahawa mereka adalah lebih buruk dari seekor keldai.  Umair r.a tidak menyangka bapa angkatnya yang kaya raya serta memiliki akal yang matang mengeluarkan kata-kata yang boleh mengeluarkannya dari keimanan dan kekufuran.

Tragedi ini berlaku bila mana Umair r.a menceritakan kepada Julais tentang kesungguhan umat Islam dan para sahabat yang sanggup berkorban harta dan tenaga untuk bersama-sama Rasulullah SAW menyerang kerajaan Romawi di daerah Tabuk pada 9 hijrah.

Meskipun ketika itu musim panas baharu bermula, buah kurma mulai matang. Masa berteduh telah tiba dan setiap orang lebih suka bersantai dan bermalas-malasan. Namun, umat Islam gagahkan diri menyahut seruan Nabi Muhammad SAW dan mempersiap segala sesuatu untuk pergi berperang.

Para wanita daripada kaum Muhajirin datang kepada Rasulullah SAW dan menyerahkan segala perhiasan mereka untuk membiayai tentera. Sahabat Baginda, Uthman bin Affan r.a juga membawa karung berisi 10,000 dinar emas kepada Rasulullah SAW. Begitu juga dengan Abdurrahman bin Auf yang menyerahkan dua ratus keping emas.

Ada seorang lelaki pula sanggup menawarkan kasutnya untuk dijual agar dapat membeli sebilah pedang untuk ikut berperang di jalan Allah SWT. Ada juga sekelompok orang beriman yang berjumpa Rasulullah SAW dan menawarkan diri untuk berperang. Namun, ia ditolak kerana tiada kenderaan boleh membawa mereka ke medan perang.

Halang kebatilan walaupun keluarga sendiri

Walau bagaimanapun, terdapat kelompok manusia yang cuba melemahkan semangat dan keazaman umat Islam untuk keluar berperang. Mereka menyebarkan keraguan, memburukkan Rasulullah SAW dan melontar kata-kata kufur dalam pertemuan-pertemuan khusus mereka.

Setelah menimbangkan perkara tentang Julais, Umair r.a mengambil keputusan memberitahu Rasulullah SAW perkataan yang diucapkan bapanya.  Ketika Julais ditanya tentang itu di hadapan Rasulullah SAW, Julais menafikan sekeras-kerasnya dan bersumpah tidak pernah membuat pernyataan seperti yang diberitahu oleh Umair.

Lalu Allah SWT menurunkan wahyu kepada Nabi Muhammad SAW dalam surah at-Taubat, ayat 74:

“Mereka (orang-orang yang menafik itu) bersumpah dengan (nama) Allah, bahawa mereka tidak mengatakan sesuatu yang menyakitimu).  Sesungguhnya mereka telah mengucapkan perkataan kekafiran dan telah menjadi kafir sesudah Islam dan mengingini apa yang mereka tidak dapat mencapainya, dan mereka tidak mencela (Allah dan Rasul-Nya), kecuali kerana Allah dan Rasul-Nya telah melimpahkan kurnia-Nya kepada mereka.  Maka jika mereka bertaubat, itu adalah lebih baik bagi mereka, dan jika mereka berpaling, nescaya Allah akan mengazab mereka dengan azab yang pedih di dunia dan akhirat, dan mereka sekali-kali tidaklah mempunyai pelindung dan tidak (pula) penolong di muka bumi.”

(Surah at-Taubat, ayat 74)

Akhirnya Julais mengaku kesalahannya dan bertaubat. Umair r.a walaupun seorang remaja, tetapi pemikirannya menjangkaui orang dewasa. Beliau tegas menghalang kebatilan walaupun keluarganya sendiri.