Sahabat dijanji Syurga: Abu Bakar r.a dan bersungguh melakukan kebaikan

Sejarah Hagnas 31-Okt-2020
dreamstime_s_190682461
Masjid Abu Bakar r.a di pusat bandar Madinah © Sonyasgar | Dreamstime.com

Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a merupakan salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang paling utama. Beliau sangat banyak menyumbang kepada perjuangan dakwah Rasulullah SAW sepanjang hayat baginda.

Dengan hidayah Allah SWT, beliau merupakan lelaki dewasa pertama yang memeluk Islam melalui dakwah Baginda Rasulullah SAW. Beliau juga merupakan khalifah pertama yang telah dilantik selepas kewafatan Baginda. Juga merupakan salah seorang daripada 10 orang sahabat yang telah diberikan khabar gembira dari Rasulullah yang menjanjikan Syurga buat mereka.

Secara ringkasnya, Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a merupakan seorang yang berakhlak luhur dan terpuji, lahir dari keturunan yang mulia. Susur-galur keturunan Abu Bakar as-Siddiq bertemu dengan susur-galur Rasulullah SAW.

Ada satu kelebihan utama Abu Bakar as-Siddiq r.a yang dikenali lagi diiktiraf di kalangan masyarakat Arab Quraisy. Ianya adalah, beliau merupakan seorang yang paling mengenali keturunan masyarakat Arab Quraisy.

As-Siddiq, al-‘Atiq dan as-Sohib

Justeru, tidaklah menghairankan apabila kita lihat bahawa Abu Bakar merupakan seorang sahabat yang sering menemani Rasulullah SAW dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat Arab kerana beliau sangat mengenali keturunan mereka. Walaupun beliau sangat mengenali ketururnan mereka, beliau seorang yang sangat baik dan tidak suka mengungkit atau memburuk-burukkan keturunan masyarakat Arab yang beliau kenali.

Selain dari gelaran as-Siddiq, Abu Bakar r.a turut dikenali sebagai al-‘Atiq. Menurut Dr. Muhammad Ali Salabi, seorang pakar sejarah Islam, nama panggilan al-‘Atiq buat Abu Bakar as-Siddiq ini diperoleh dari beberapa sumber.

Antaranya ialah disebabkan Rasulullah SAW sendiri yang pernah diriwayatkan memanggil Abu Bakar dengan al-‘Atiq, yang merujuk kepada seorang yang dibebaskan dan dipelihara oleh Allah SWT dari azab neraka-Nya.

Diriwayatkan juga bahawa panggilan al-‘Atiq ini merujuk kepada keelokan wajahnya dan kematangan Abu Bakar as-Siddiq r.a. Malahan, Abu Bakar juga diberikan gelaran as-Sohib dalam Surah at-Taubah. Ia suatu gelaran istimewa yang Allah SWT berikan kepada Abu Bakar yang telah menemani Rasulullah SAW dalam peristiwa Hijrah yang terkenal itu.

Bersungguh melakukan kebaikan

Pada sosok peribadi Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a, seorang yang telah dididik secara terus oleh Nabi Muhammad SAW itu, terdapat begitu banyak kebaikan yang wajar kita dan keluarga kita pelajari dan contohi. Saidina Umar al-Khattab r.a pernah meriwayatkan bahawa beliau (Umar) tidak pernah sekali-kali berjaya mendahului Abu Bakar as-Siddiq dalam perkara kebaikan.

Mengenali Umar al-Khattab r.a yang sangat hebat itu, tentunya dapat kita fahami dari kata-kata Umar ini tentang kelebihan Abu Bakar as-Siddiq r.a. Pernah Rasulullah SAW bertanya kepada para sahabat pada suatu hari. Siapakah di kalangan mereka yang menziarahi orang sakit pada hari itu, yang mengiringi jenazah pada hari itu. Lalu tiada di kalangan sahabat yang melakukan kebaikan yang ditanya oleh Rasulullah SAW itu melainkan Abu Bakar.

Dengan sorotan ringkas mengenai Abu Bakar as-Siddiq r.a ini, marilah kita bersama menghayati dan mencontohi kebaikan Abu-Bakar as-Siddiq yang sentiasa bersungguh-sungguh melakukan  kebaikan. Semoga Allah SWT memberikan hidayah dan taufik-Nya kepada kita semua.