Sahabat dijanji Syurga: Saidina Ali r.a, sejarah hidupnya gemilang

Islam 22 Jan 2021 Hagnas
Terkini oleh Hagnas
Sahabat dijanji Syurga: Saidina Ali r.a, sejarah hidupnya gemilang
Sahabat dijanji Syurga: Saidina Ali r.a, sejarah hidupnya gemilang (foto: Masjid Kufa di Iraq, sekitar 1915) © By Public Domain, Link

Nama Saidina Ali bin Abi Talib r.a begitu harum di seluruh dunia. Sebagai kanak-kanak pertama yang memeluk Islam, apatah lagi sejarah sumbangan dan pengorbanan beliau dalam perjuangan bersama Rasulullah SAW.

Tentunya begitu panjang. Dalam coretan ringkas ini, mari kita lihat beberapa kisah dan pengajaran mengenai kehebatan Saidina Ali r.a.

Kanak-Kanak Pertama Memeluk Islam

Sebagai kanak-kanak pertama memeluk Islam, tentulah Saidina Ali r.a telah melalui pengalaman yang banyak dan istimewa dalam membesar sebagai seorang kanak-kanak dalam Islam.

Tambahan pula suasana dan waktu saat beliau membesar begitu mencabar, iaitu sewaktu dakwah Rasulullah SAW melalui tempoh yang begitu sukar.

Saidina Ali sepupu Nabi Muhammad SAW

Kehebatan Saidina Ali r.a jelas dikenali dari susur-galur keturunan beliau. Sebagai seorang sepupu bagi Nabi Muhammad SAW, tentunya kehebatan dan kewibawaan keluarga Nabi turut dimiliki oleh Saidina Ali.

Saidina Ali r.a merupakan anak kepada Abu Talib r.a, bapa saudara Nabi Muhammad SAW yang sungguh rapat dengan Baginda. Pengorbanan Abu Talib yang sering bersedia mempertahankan Rasulullah banyak membantu usaha dakwah dan perjuangan Baginda.

Menantu Rasulullah SAW

Saidina Ali r.a juga bukan sahaja merupakan sepupu Nabi Muhammad SAW, beliau juga merupakan menantu Baginda. Beliau telah mengahwini Saidatina Fatimah r.a, puteri Rasulullah.

Dari mereka berdualah lahirnya Hassan r.a dan Hussin r.a, cucu-cucu kesayangan Baginda.

Keperwiraan Saidina Ali r.a

Suatu keistimewaan Saidina Ali r.a ialah keberanian luar biasa beliau. Tiada siapa dapat menyanggah keberanian Saidina Ali sewaktu peristiwa Hijrah saat berada di tempat tidur Rasulullah SAW.

Bahkan Saidina Ali r.a juga terkenal sebagai perwira yang sangat tangkas dan berani. Beliau sering menjadi wakil bagi tentera umat Islam untuk bertarung dengan wakil dari tentera pihak kafir, dan memenangi pertarungan tersebut.

Saidina Ali r.a meninggal dunia di Kufa, pada tahun 661 Masihi iaitu di Masjid Besar Kufah, Iraq pada masa sekarang.

Sangat banyak pengajaran yang dapat kita ambil dari kisah Saidina Ali r.a. Beliau membesar dalam keluarga besar Rasulullah SAW dan terpilih menjadi menantu Baginda. Beliaulah perwira yang mengharungi perjuangan yang begitu mencabar untuk menyampaikan kebenaran Islam.