Buletin SalamWebToday
Daftar untuk mendapatkan artikel SalamWeb Today setiap minggu!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Sahabat dijanji Syurga: Saidina Uthman r.a contoh insan tabah

Islam 12 Jan 2021
Hagnas
Ini adalah perkiraan lokasi rumah Saidina Uthman r.a, di luar Masjid Nabawi © islamiclandmarks.com
Ini adalah perkiraan lokasi rumah Saidina Uthman r.a, di luar Masjid Nabawi © islamiclandmarks.com

Uthman suatu nama yang begitu sinonim dalam masyarakat kita. Ramai orang tua yang ingin menamakan anak mereka dengan Uthman. Siapakah Uthman yang paling anda kenali? Kali ini kita berbicara mengenai Uthman yang paling hebat di dalam sejarah Islam – Saidina Uthman bin Affan r.a.

Mari kita tengok lima pelajaran menarik kisah hidup Uthman bin Affan r.a. buat kita semua.

Pilihan keluarga Nabi Muhammad SAW

Semua orang ingin menjadi pilihan dalam perkara yang mereka sukai. Bagi kita umat Islam, tiada sosok manusia yang lebih kita sukai melebihi Nabi Muhammad SAW. Kita menyayangi Baginda, ahli keluarga dan para sahabat Baginda.

Tidak ramai insan istimewa yang menjadi pilihan Rasulullah SAW dan keluarga Baginda seperti Saidina Uthman r.a. Di kalangan seluruh sahabat Baginda, Uthman adalah satu-satunya sahabat Baginda yang terpilih untuk mengahwini dua orang puteri Baginda. SubhanAllah.

Ini suatu kemuliaan yang sangat istimewa. Beliau telah mengahwini dua puteri Nabi Muhammad SAW iaitu yang pertamanya Ruqayyah r.a dan yang keduanya Ummu Kulthum r.a. Oleh sebab itulah beliau dikenali dengan panggilan Zul Nurain ( Dhun-Nur’ain atau ‘yang dikurniakan dua cahaya’).

Uthman r.a dipuji Rasulullah SAW

Tentunya semua sahabat Nabi Muhammad SAW adalah insan terpuji, menjadi penyokong dan pendokong perjuangan Islam di sepanjang hayat Baginda. Mereka adalah inspirasi kita semua. Tetapi bilakah Uthman r.a mendapat pujian istimewa dari Nabi Muhammad?

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a, yang direkodkan dalam Sahih Bukhari, Nabi Muhammad SAW pada suatu hari telah menaiki Bukit Uhud bersama dengan Saidina Abu Bakar r.a, Saidina Umar r.a dan Saidina Uthman r.a.

Tiba-tiba bergoncanglah Bukit Uhud. Lalu Nabi Muhammad SAW telah bersabda, “Tetaplah Uhud! Sesungguhya di atas kamu ada seorang Nabi, seorang Siddiq dan dua orang syahid (iaitu Saidina Umar al-Khattab dan Uthman bin Affan)”. Hebatnya insan ini. Mendapat pujian dari penghulu segala Nabi dan sekalian makhluk.

Contoh insan tabah seluruh ummah

Sejarah telah begitu jelas memaparkan kisah Saidina Uthman bin Affan r.a yang terpilih untuk menjadi Khalifah Islam ketiga. Beliau telah hidup dalam zaman yang penuh dengan ujian dan fitnah. Kisahnya begitu mashyur dan panjang.

Jasa Uthman r.a mengumpulkan dan menyatukan mushaf al-Quran akan tetap dihargai dan dihayati hingga kini. Pemerintahan beliau selama hampir 12 tahun itu penuh dengan ujian yang berat sehingga hanya insan istimewa sehebat Uthman sahaja yang mampu melaluinya.

Saidina Uthman r.a akhirnya syahid, membenarkan janji Nabi Muhammad SAW ke atasnya.

Kekayaannya istimewa

Suatu ketika pada zaman pemerintahan Abu Bakar As-Siddiq r.a, umat Islam telah diuji dengan kesempitan dan kemarau yang berpanjangan. Umat Islam hidup dalam keadaan yang begitu mencabar dan penuh dugaan dengan bekalan makanan yang kian berkurangan.

Pada saat yang begitu mencabar ini, tampil Uthman r.a. Beliau telah mengagihkan harta dagangannya secara percuma kepada orang yang memerlukan, walaupun beliau ditawarkan dengan harga berlipat kali ganda untuk menjual dagangannya.

Jumlah harta dagangannya itu dikhabarkan begitu banyak sehingga hanya mampu dibawa oleh hampir seribu ekor unta.

Kebajikannya hingga kini terasa

Kisah telaga Uthman r.a begitu besar maknanya dan manfaatnya buat kita semua. Malah, manfaatnya masih terasa hingga pada saat ini. Bermula daripada telaga Yahudi yang dibeli dan dikongsi mengikut hari, beliau telah menjemput  seluruh penduduk Madinah menggunakan telaga tersebut tanpa sebarang bayaran.

Akhirnya Uthman r.a telah membeli keseluruhan telaga tersebut, lalu air telaga itu digunakan untuk mengairkan tanaman kurma di sekitarnya. Begitulah berkatnya telaga Uthman.

Hingga kini, keuntungannya berlipat ganda, diusahakan kurma dan pelbagai projek hartanah yang diuruskan Kerajaan Arab Saudi dan disedekahkan kepada masyarakat miskin yang memerlukan.

Saidina Uthman r.a adalah insan pilihan buat insan. Beliau tauladan yang baik untuk kita semua dan seluruh generasi yang akan datang. Ketabahan, kekayaan dan kedermawanan beliau wajar menjadi ikutan kita semua dalam membangunkan umat manusia.