Sahabat sejati dalam hidup kita

Sahabat sejati, juga sehati sejiwa © Shuo Wang | Dreamstime.com

Sahabat adalah individu yang paling rapat dengan kita. Tempat untuk berkongsi suka dan duka selain menyimpan banyak rahsia. Setiap daripada kita pasti mempunyai  sahabat atau teman.  Seorang yang sentiasa jujur dan ikhlas, yang selalu ada ketika kita memerlukan.

Ada yang menjadikan sahabat sejak kecil atau di bangku sekolah sebagai sahabat sejatinya. Ada juga yang bertemu sahabat sejati semasa sama-sama menuntut  di kolej atau universiti.  Tidak kurang juga yang menjadikan ibu atau ayah, adik atau kakak, abang mahupun sepupu sebagai sahabat.

Sahabat sejati ialah orang yang paling bahagia apabila melihat kita berjaya dan berasa sedih sewaktu kita berduka. Sekiranya kita mahu sahabat yang baik, kita juga seharusnya menjadi seorang sahabat yang baik juga.

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik sahabat di sisi Allah SWT ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik-baik jiran di sisi Allah SWT ialah orang yang terbaik terhadap jirannya.”  (Hadis riwayat al-Hakim)

Dalam memilih sahabat, pilihlah yang dapat memandu kita ke jalan yang diredai Allah SWT.  Dalam Islam, sahabat yang baik ialah mereka yang sentiasa mengingatkan kita untuk melakukan amal ibadah dan kebaikan selain sanggup bersusah payah dan berkongsi suka duka bersama.

Sabda Baginda SAW:  “Tiga perkara yang boleh mengeratkan persahabatan dengan saudaramu iaitu memberi salam apabila bertemu dengannya dan menyediakan tempat duduknya dalam satu majlis serta panggillah dia dengan nama yang paling disenanginya.”  (HR al-Tabrani)

Menurut Imam al-Ghazali r.a, terdapat beberapa kriteria tentang sahabat yang baik.  Ia sebagai panduan dalam kita mengenal sahabat sejati di samping mempersiap diri  sendiri menjadi sahabat yang ikhlas, jujur dan baik.

Antaranya ialah jika anda berbuat baik kepadanya, maka dia juga akan melindungi anda. Jika anda merapatkan ikatan persahabatan dengannya, maka dia akan membalas balik persahabatan tersebut.

Jika anda memerlukan pertolongan daripadanya, maka dia akan berupaya membantu sesuai dengan kemampuan dirinya. Jika anda menawarkan berbuat baik kepadanya, maka dia akan menyambut dengan baik.

Jika teman anda memperoleh suatu kebaikan atau bantuan dari anda, maka dia akan menghargai kebaikan itu. Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik dari diri anda, maka dia akan berupaya menutupinya.

Jika anda meminta sesuatu bantuan daripadanya, maka dia akan mengusahakannya dengan bersungguh-sungguh. Imam al-Hasan al-Basri r.a pernah berkata bahawa:  “Perbanyakkan sahabat-sahabat mukminmu, kerana mereka memiliki syafaat pada hari kiamat.”

Persahabatan adalah jambatan untuk kita ke syurga. Ini kerana Allah SWT sangat menyukai seseorang mukmin yang mengasihi manusia lain serta memelihara silaturahim.

Seperti kata Imam Syafie r.a: “Jika engkau mempunyai teman yang selalu membantumu dalam ketaatan kepada Allah, maka peganglah erat-erat dia, janganlah engkau lepaskannya. Kerana mencari teman yang baik itu begitu susah, tetapi melepaskannya sangat mudah sekali.”

Sesungguhnya sahabat memainkan peranan penting dalam hidup kita. Hikmahnya seorang sahabat sejati ialah kita dapat saling memberi semangat satu sama lain untuk menjalani kehidupan ini dengan lebih baik.