Sahur suatu kemestian

Sahur dengan tamar dan teh © Galiyahassan | Dreamstime.com

Pejam celik, Syaaban sudah pun melabuhkan tirai dan Ramadan menjenguk ke muka pintu rumah seluruh umat Islam. Bulan yang penuh keberkatan ini sudah diseru kehadirannya sebaik sahaja Rejab menjelma dengan memanjatkan doa dalam setiap solat memohon Allah SWT sampaikan kita kepadanya.

Puasa kurang lengkap jika tidak memulakan hari dengan bersahur.  Kita pasti mempunyai kenangan bersahur semasa kecil. Seorang emak atau ibu adalah orang yang sangat risau sekiranya anak kesayangan tidak bersahur.  Ibu sanggup angkat kita ke bilik air, basuhkan muka dan suapkan makanan ke mulut asal sahaja kita kenyang. Tidak cukup dengan nasi, ibu akan paksa makan buah kurma atau tamar.  Katanya, tamar banyak khasiat dan boleh memberi kita tenaga sehingga maghrib menjelma.

Begitulah kenangan sahur yang  kita semua pernah lalui.  Kini, tiba giliran kita pula untuk meneruskan tradisi itu kepada anak-anak.  Merancang menu yang ringkas dan sihat. Badan kita memerlukan sumber tenaga sepanjang hari berpuasa. Makanan yang dimakan ketika sahur berfungsi memberi tenaga sekali gus membantu untuk kita menjalani ibadah puasa dengan lancar.

Pemilihan makanan sewaktu sahur amat penting.  Makanan yang digalakkan ialah yang mengandungi karbohairat kompleks seperti nasi, pasta atau oat.  Begitu juga dengan buah-buahan dan sayur-sayuran serta buah tamar.

Setiap kali sebelum tidur malam, kita telah menetapkan niat  untuk berpuasa.  Walaupun kelihatan sukar, namun ia adalah amalan yang penting dan dituntut oleh Nabi Muhammad SAW meskipun tidak diwajibkan.

Daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata, Nabi SAW telah bersabda maksudnya: “Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan.”  [Riwayat al-Bukhari (1923), dan Muslim (1095)]

Waktu sahur bermula daripada akhir malam sebelum waktu subuh sehingga terbit fajar sadiq (fajar benar). Sunnah untuk kita melewatkan waktu sahur sehingga hampir kepada waktu subuh sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Thabit RA, beliau berkata yang maksudnya: “Kami telah bersahur bersama Rasulullah SAW kemudian kami bangun untuk mendirikan solat, aku telah bertanya, berapa jarak antara keduanya? Maka baginda SAW bersabda: 50 ayat.”  [Riwayat Muslim (1097), al-Nasaie (2155), dan Ibn Majah (1694)]

Maksud 50 ayat di dalam hadis ini ialah kadar tempoh bacaan ayat al-Quran tersebut lebih kurang persamaannya dengan kadar waktu antara imsak iaitu waktu berhati-hati, dengan waktu subuh.

Seorang muslim tidak seharusnya meninggalkan perbuatan bersahur walaupun sahurnya itu dengan segelas air atau sebutir tamar, atau selain daripada keduanya. Walau bagaimanapun, sahur yang paling afdal adalah sahur dengan air dan tamar sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya:  “Sebaik-baik sahur orang mukmin adalah dengan buah tamar.” [Riwayat Abu Dawud (2345)]

Selamat bersahur.  Semoga kita semua dapat menjalani ibadah puasa dengan lebih tenang di rumah, tanpa disibukkan dengan tugas di tempat kerja seperti tahun-tahun sebelumnya. Teruskan berdoa agar apa yang berlaku hari ini dapat menjadikan kita umat-Nya yang lebih baik.