Said bin Amir al-Jumahi r.a – sahabat hebat yang rendah diri walaupun berpangkat tinggi

Sejarah 02 Mac 2021 Hanita Hassan
Pilihan oleh Hanita Hassan
Said bin Amir al-Jumahi r.a - sahabat hebat yang rendah diri walaupun berpangkat tinggi
Said bin Amir al-Jumahi r.a - sahabat hebat yang rendah diri walaupun berpangkat tinggi © Oleg Doroshenko | Dreamstime.com

Said bin Amir al-Jumahi r.a ialah salah seorang sahabat Rasulullah SAW. Seorang yang jujur dan tinggi ketakwaannya. Zaman mudanya digunakan untuk memimpin dan kewibawaannya setaraf para pemimpin Quraisy seperti Abu Sufyan bin Harb dan Sofwan bin Umayyah.

Said r.a mendapat hidayah Allah Taala setelah menyaksikan kematian Khubaib bin Adi. Khubaib telah dikerat-kerat badannya yang masih bernyawa oleh orang Quraisy di suatu tempat bernama At-Tan’im di belakang kota Mekah sebagai membalas perbuatannya semasa perang Badar.

Said bin Amir al-Jumahi r.a – sahabat Rasulullah SAW yang hebat    

Saat hidayah menusuk hatinya, Said r.a mengisytiharkan kepada penduduk Mekah pembebasannya dari berhala Quraisy untuk memeluk Islam.  Beliau mendapat pengajaran bahawa kehidupan sejati adalah akidah dan jihad.

Di saat kematian Khubaib, beliau masih melakukan solat dan sanggup mempertahankan sahabatnya, Nabi Muhammad SAW daripada disakiti oleh kaum Quraisy. Dengan keyakinan itu, maka Said bin Amir r.a berhijrah ke Madinah untuk bertemu Rasulullah SAW dan memeluk Islam.

Said bin Amir r.a menyertai Rasulullah SAW dalam perang Khaibar dan banyak peperangan lain.  Setelah wafatnya Baginda, Said meneruskan usahanya dengan menyertai peperangan demi peperangan di zaman Khalifah Abu Bakar r.a dan Umar r.a. Said kemudian dilantik sebagai Gabenor di Hims, Syria.

Suatu ketika Umar r.a menerima rombongan dari penduduk Hims.  Umar meminta mereka menyenaraikan nama fakir miskin di sana.  Salah satu nama tersebut ialah Said bin Amir r.a.

Umar r.a menangis sehingga air matanya membasahi janggut mendengar kisah kesusahan pemimpin Hims itu.  Beliau meminta ahli rombongan menyerahkan pundi berisi seribu dinar kepada Said r.a.  Namun setelah menerimanya, Said mengagihkan pula kesemua dinar pemberian Umar itu kepada fakir miskin di Hims.

Semasa Umar r.a mengunjungi Syam untuk melihat keadaan di situ dan ketika tiba di Hims, beliau terdengar banyak keluhan penduduk tentang pemimpin mereka.  Umar meminta mereka menyenaraikan keluhan itu.  Selama ini Umar tidak pernah curiga malah sangat percaya kepada Said r.a.

Keluhan penduduk tentang Said bin Amir r.a

Keluhan pertama ialah Said bin Amir r.a tidak meninggalkan rumahnya kecuali telah siang hari.  Jawapan Said, beliau tidak mempunyai hamba.  Selepas solat dan membaca al-Quran, beliau membantu isterinya menyiapkan adunan roti, menunggu masak dan membahagikan kepada mereka. Dan selepas berwuduk baharulah Said keluar bertemu masyarakat.

Keluhan kedua ialah Said r.a tidak mahu ditemui pada waktu malam.  Jawapannya kerana beliau telah memperuntuk waktu tengah hari kepada rakyat dan malam untuk Allah SWT.

Keluhan ketiga adalah dalam sebulan, ada sehari Said bin Amir r.a tidak bertemu rakyat. Said menjelaskan beliau tidak mempunyai pembantu dan tidak mempunyai sehelai kain pun kecuali baju yang dipakainya.  Jadi, setiap bulan beliau terpaksa mencucinya sendiri dan memakainya semula.  Selepas itu baharulah beliau berjumpa dengan rakyat.

Keluhan keempat adalah wajahnya sering murung dan sedih sehingga membuat orang meninggalkan majlisnya. Said bin Amir r.a menjelaskan bahawa beliau masih terbayang penyiksaan kaum Quraisy yang memotong-motong badan Khubaib bin Adi r.a dalam keadaannya masih bernyawa.

Said r.a juga ditawarkan perlindungan dan keselamatan untuk kekayaan jika beliau mengingkari Nabi Muhammad SAW, namun beliau menolak tawaran itu.  Beliau tidak menolong Khubaib kerana keadaannya yang masih musyrik dan bimbang Allah SWT tidak memaafkannya.

Umar r.a kemudian memberikan lagi seribu dinar untuk memenuhi keperluan Said r.a.  Namun, beliau meletakkan dinar-dinar itu dalam beberapa pundi dan dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin.

Sesungguhnya Allah SWT telah reda dengan Said bin Amir Al-Jumahi ra.  Beliaulah satu di antara orang yang mendahulukan orang lain daripada dirinya sendiri meskipun ketika dalam kesusahan.