Saidatina Khadijah r.a. kesayangan Nabi SAW

Kepercayaan Hanita Hassan 13-Mei-2020
Makam lama Saidatina Khadijah r.a. di Jannat al-Mu'alla, Mekah © Public Domain, Link

Saidatina Khadijah binti Khuwailid r.a. merupakan isteri Nabi Muhammad SAW dan wanita pertama yang beriman serta menyatakan bahawa Tuhan itu satu dan Nabi Muhammad SAW adalah utusan Allah SWT. Beliau adalah wanita kesayangan Rasulullah SAW dan yang pertama digelar Ummul Mukminin (ibu orang-orang beriman).

Dilahirkan di Mekah pada tahun 68 sebelum Hijrah dan kurang lebih 15 tahun sebelum tahun Gajah. Puteri kepada Khuwailid bin Asad. Ayahnya seorang pedagang. Ibunya  bernama Fatimah binti Zaidah. Saidatina Khadijah r.a. lahir dari kalangan keluarga yang mulia, jujur dan keluarga pemimpin berketurunan Bani Hasyim.

Seorang isteri, teman dan penyokong kuat serta tulang belakang  perjuangan Rasulullah SAW berdakwah menegakkan Islam. Hartanya dihabiskan untuk menolong suami dan keluarganya serta orang-orang Muslim. Sumbangannya pada zaman awal Islam telah menolong memberikan banyak perubahan pada ketika itu.

Rasulullah SAW memilih Khadijah sebagai contoh teladan kepada umatnya, terutama bagi kaum wanita kerana kesempurnaan beliau yang cerdas, pandai menjaga diri, suci perilaku, bermurah hati serta dermawan. Baginda telah memberinya gelaran penghulu wanita pada zamannya dan juga menjadi penghulu syurga.

Hasil perkahwinan dengan Nabi Muhammad SAW, mereka dikurniakan enam cahaya mata iaitu Qasim, Abdullah, Zainab, Ruqaiyah, Umi Kalsum dan Fatimah. Saidatina Khadijah r.a. ialah wanita solehah yang dicintai Allah SWT serta mendapat salam khusus dari-Nya, maka mencintai orang yang dikasihi Allah adalah satu ibadah dalam mentaati perintah-Nya.

Khadijah sangat dicintai oleh Rasulullah SAW. Mencintai beliau umpama mendapatkan kecintaan Rasulullah.  Beliau juga wajib dicintai kerana merupakan keluarga Nabi. “Katakanlah (wahai Muhammad) Aku tidak meminta kepadamu (wahai umatku) apa-apa balasan kecuali kecintaan kepada ahli keluargaku.” (Asy-Syura, 23)

Diriwayatkan pada suatu hari, Khaulah binti Hakim bertanyakan baginda: “Wahai Rasulullah, apakah engkau kesepian berpisah dengan Khadijah? Rasulullah SAW menjawab: “Ya! Demi Allah, Khadijah itu pentadbir dan suri rumah yang baik.”

“Sungguh dia (Khadijah r.a.) tiada ganti.”  Dia beriman kepadaku ketika semua manusia mengingkariku, dia membenarkanku ketika semua orang mendustaiku, dia membantuku dengan hartanya ketika manusia menghalangku dan Allah menganugerahkan padaku semua anaknya ketika wanita lain tidak memberikanku anak.” (Musnad Ahmad)

Selama 25 tahun bersama Rasulullah SAW, Saidatina Khadijah r.a. tidak pernah risau apabila mendermakan seluruh harta demi menyokong perjuangan suaminya.  Sehingga beliau mahu menghembuskan nafas terakhir, masih memikirkan apa yang boleh disumbangkan untuk Islam.

Kisah kemuliaan Saidatina Khadijah r.a. yang digelar Khadijah al-Kubra (yang agung) boleh dijadikan teladan untuk kita menjadi mukmin sejati. Semoga akhlak beliau menjadi ikutan kita, terutamanya para muslimah seluruhnya.

“Orang mukmin paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik akhlaknya dan sebaik-baik kamu adalah yang paling baik kepada isterinya.” (Hadis riwayat At-Tirmidzi)