Saidatina Safiyah, wirawati perang Islam pertama

Saidatina Safiyah, wirawati perang Islam © Kairi Aun | Dreamstime.com

Saidatina Safiah binti Abdul Mutalib r.a adalah salah seorang wanita Islam pertama yang menghunuskan senjata dan berperang mempertahankan agama Allah SWT. Safiah adalah ibu saudara kepada Nabi Muhammad SAW dan merupakan ibu kepada Saidina Zubair bin Awwam r.a.

Bapa Saidatina Safiah iaitu Abdul Mutalib r.a merupakan seorang yang sangat disegani. Safiah ialah kakak kepada ibu Nabi Muhammad SAW. Safiah telah berkahwin pertama kali dengan Al-Harith bin Al-Harb r.a. Setelah suaminya meninggal dunia, Saidatina Safiah telah berkahwin pada kali kedua dengan Al-Awwam bin Khuwailid r.a. Suami kedua Safiah merupakan saudara kandung kepada isteri Nabi Muhammad, iaitu Siti Khadijah binti Khuwailid r.a.

Saidatina Safiah r.a sangat tekun beribadah. Ketika Nabi Muhammad SAW menyampaikan ajaran agama Islam, Safiah adalah orang terawal yang beriman dan membenarkan kenabian Nabi Muhammad.

Saidatina Safiah r.a telah membesarkan anaknya, Zubair bin Al-Awwam r.a dengan penuh kasih sayang dan ketegasan. Safiah membesarkan Zubair dan melatihnya menjadi seorang pejuang yang berjuang di medan perang. Mainan harian Zubair adalah lontaran-lontaran anak panah. Zubair juga turut diajar seni memperbaiki busur-busur panah. Zubair juga dipersiapkan dengan kemahiran berkuda dan bersenjata.

Saidatina Safiah r.a dan anaknya Zubair r.a adalah antara kaum Muslimin yang terawal memeluk Islam. Pada peristiwa hijrah, Nabi Muhammad SAW telah berpindah ke Kota Madinah setelah diizinkan oleh Allah SWT. Ketika itu, Saidatina Safiah turut berhijrah bersama-sama Baginda.

Saidatina Safiah r.a meninggalkan Kota Mekah dengan meninggalkan rumah dan hartanya demi berhijrah bersama Baginda Nabi Muhammad SAW. Sewaktu usianya menginjak usia 60 tahun, Saidatina Safiah turut menyertai Rasulullah berjihad di medan Perang Uhud. Saidatina Safiah telah keluar bersama angkatan muslimin dan sekumpulan wanita yang turut sama berjihad pada ketika itu.

Pada waktu itu, tugas Saidatina Safiah r.a adalah menyediakan air, membalut luka dan membaiki panah-panah yang telah patah. Namun, ketika Saidatina Safiah melihat kacau bilau di dalam peperangan dan orang mula jauh daripada Nabi Muhammad SAW, beliau menarik pedang untuk turut serta dalam kancah peperangan membantu Nabi Muhammad. Bahkan, dikhabarkan beliau merupakan muslimah pertama yang menghulur senjata dan membunuh kaum Musyrikin.

Di dalam Perang Uhud, adiknya, Saidina Hamzah bin Abdul Mutalib r.a turut berjuang bersama-sama. Namun Saidina Hamzah telah terkorban di dalam perang itu. Melihat keadaan itu, Baginda mengarahkan Zubair r.a menjauhkan ibunya daripada Saidina Hamzah kerana bimbang beliau akan bersedih.

Saidatina Safiah r.a bertanya mengapa dia perlu berhenti. Dia bangga melihat adiknya berjuang di jalan Allah SWT dan syahid mempertahankan Rasulullah SAW dan juga agama Islam.

Begitulah hebatnya seorang wanita bernama Saidatina Safiah binti Abdul Mutalib r.a yang berani berjuang dalam medan perang untuk menentang kaum musyrikin demi mempertahankan agama Islam. Kisah keberanian Saidatina Safiah perlu dicontohi dan diambil iktibar kebaikannya.