Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a – sahabat sejati Rasulullah SAW

Islam untuk Pemula Hanita Hassan
Pilihan oleh Hanita Hassan
Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a sahabat sejati
Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a sahabat sejati © Ayşegül Muhcu | Dreamstime.com

Abdullah bin Uthman r.a atau lebih dikenali sebagai Abu Bakar As-Siddiq adalah sahabat Rasulullah SAW yang paling rapat.  Nama sebenar beliau ialah Abdul Ka’bah yang kemudian diubah oleh Rasulullah SAW kepada Abdullah.

Selepas kewafan Nabi Muhammad SAW, Saidina Abu Bakar r.a dilantik sebagai Khalifah pertama di zaman pemerintahan Khulafah Ar-Rashidin.

Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a sahabat sejati

Saidina Abu Bakar r.a  adalah orang pertama yang membenarkan dan mempercayai peristiwa israk dan mikraj Rasulullah SAW dengan penuh keyakinan tanpa ragu-ragu. Rentetan daripada peristiwa itu Abu Bakar diberi gelar ‘As-Siddiq’ yang bererti ‘orang yang benar’ oleh Nabi Muhammad SAW kerana sentiasa mempercayai setiap apa yang diperkatakan oleh Baginda.

Menurut tradisi dan sejarah Islam, Saidina Abu Bakar r.a adalah golongan lelaki dewasa yang pertama memeluk Islam. Manakala Ummul Mukminin Saidatina Khadijah Khuwailid r.a, isteri Rasulullah SAW adalah yang pertama dari kalangan wanita dewasa.

Saidina Ali bin Abu Talib r.a adalah pertama daripada kalangan lelaki kanak-kanak. Seterusnya, Zaid bin Haritsah r.a pula yang mula-mula daripada golongan hamba lelaki, dan Ummu Aiman r.a, isteri Zaid adalah pertama daripada golongan hamba wanita.

Lahir di Mekah pada 572 tahun gajah iaitu dua tahun enam bulan selepas Nabi Muhammad SAW dilahirkan.  Ibunya Salma binti Shakhar.  Sejak kecil Abu Bakar r.a sudah terkenal dengan sifat terpuji, budi pekerti yang baik lagi mulia.

Saidina Abu Bakar r.a juga seorang yang terpelajar dan bijak dalam kalangan masyarakat Quraisy. Sewaktu jahiliyah, Abu Bakar antara 17 penduduk yang pandai membaca dalam kalangan masyarakat ketika itu.  Pernah bertugas sebagai hakim dan berada di kedudukan tinggi selain dipercayai bijak menafsir mimpi.

Beliau juga adalah seorang saudagar kain yang kaya, memiliki kebun kurma yang luas dan memelihara unta serta pelbagai perniagaan lain.  Seorang yang pemurah dan suka membantu.  Beliau pernah menggunakan hartanya membebaskan para hamba yang didera kerana memeluk Islam, salah seorangnya adalah Bilal bin Rabah r.a.

Saidina Abu Bakar r.a menyatakan keIslamannya pada usia 38 tahun, ketika Rasulullah SAW berusia 40 tahun. Semasa Nabi Muhammad berhijrah dari Mekah ke Madinah pada tahun 622, Abu Bakar adalah satu-satunya sahabat yang mengikuti Baginda.  Penghijrahan itu berlaku pada tahun ke-14 kenabian Baginda.

Menemani Rasulullah SAW bersembunyi daripada kafir Quraisy 

Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a menemani Rasulullah SAW bersembunyi daripada kafir Quraisy yang mahu membunuh Baginda. Mereka bersembunyi di sebuah bukit bernama Thur atau Bukit Thursina. Peristiwa ini termaktub dalam al Quran.

Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a bukan sahaja sahabat sejati Rasulullah SAW tetapi juga bapa mertua kepada Baginda.  Anaknya Saidatina Aishah r.a berkahwin dengan Rasulullah SAW selepas peristiwa penghijrahan di Madinah.

Selepas kewafatan Rasulullah SAW, sebuah majlis syura diadakan melantik seorang khalifah dan pemimpin umat Islam.  Saidina Abu Bakar As-Siddiq dilantik sebagai Khalifah.

Semasa pemerintahan Saidina Abu Bakar r.a, banyak sumbangan dan jasa beliau dicurahkan untuk menegak dan mempertahankan Islam. Cabarannya besar untuk memerangi pemberontakan beberapa kabilah, golongan yang engkar membayar zakat, memerangi orang yang murtad, gerakan Riddah dan golongan nabi palsu.

Saidina Abu Bakar r.a juga berjaya melakukan perluasan wilayah Islam di Semenanjung Arab.  Antaranya di Syria dan Iraq.  Pada zaman Abu Bakar juga, pengumpulan teks-teks bertulis al-Quran dibuat.

Beliau meninggal dunia pada 23 Jamadilakhir tahun ke-13 Hijrah (643 masehi) di Madinah.  Abu Bakar As-Siddiq sempat menamakan nama Saidina Umar al-Khattab r.a sebagai penggantinya.  Jasad beliau dimakamkan bersebelahan makam Nabi Muhammad SAW di Masjid an-Nabawi di Madinah.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.