Saidina Umar al-Khattab r.a.

Agama Abi Aasim 30-Jun-2020
Makam Saidina Umar bersebelahan makam Rasulullah SAW di Masjid Nabawi, Madinah © Hikrcn | Dreamstime.com

Saidina Umar Al-Khattab r.a. adalah salah seorang sahabat yang sangat dicintai oleh Baginda Rasulullah SAW. Saidina Umar juga merupakan Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua. Saidina Umar sangat terkenal dengan ketegasan dan keberanian beliau dalam menegakkan syiar dan perjuangan Islam.

Sebelum memeluk Islam, Umar r.a. adalah salah seorang penentang agama Islam yang utama. Namun setelah Allah SWT membukakan hatinya untuk memeluk agama Islam, beliau telah menjadi pejuang utama buat Islam. Dikatakan bahawa beliau memeluk Islam setelah mendengar bacaan Al-Quran yang didendangkan oleh adiknya sendiri.

Sejak itu Umar r.a. telah memperjuangkan segalanya untuk agama Islam. Semasa beliau menjadi khalifah, agama Islam telah berkembang dengan pesatnya. Orang Islam berjaya menawan Mesopotamia dan sebahagian kawasan Parsi daripada Empayar Parsi dan menawan Mesir, Palestin, Syria, Afrika Utara, dan Armenia serta Byzantine.

Selain itu Saidina Umar r.a. juga melakukan beberapa pembaharuan dalam pentadbiran kerajaan Islam. Dua antaranya yang ingin dinyatakan di sini ialah seperti di bawah.

Membentuk Majlis Syura

Majlis Syura merupakan lembaga perunding yang tertinggi. Ianya terbahagi kepada dua iaitu Majlis Syura Tertinggi dan Majlis Syura Am.

Anggota Majlis Syura Tertinggi terdiri daripada Uthman bin Affan r.a, Ali bin Abi Talib r.a, Zaid bin Tsabit r.a, Abdul Rahman bin Auf r.a, Saad bin Abi Waqas r.a. dan Mu’az bin Jabal r.a. Semua perkara yang melibatkan masalah politik, keselamatan dan sosial negara akan dibincangkan bersama-sama dalam majlis tersebut. Majlis Syura ini juga bertanggungjawab menentukan polisi negara dalam soal pemerintahan dalaman dan hubungan luar.

Membahagikan wilayah Islam dan memperkenalkan sistem gabenor

Perkembangan pesat wilayah Islam memerlukan penambahbaikan dalam sistem pentadbiran kerajaan Islam. Pengenalan sistem Gabenor di wilayah-wilayah Islam yang baharu dapat menjamin pemerintahan yang berkesan. Pada zaman ini lagi Saidina Umar r.a. mengenakan syarat bagi para gabenor di bawah pentadbiran beliau agar mengisytiharkan harta mereka bagi mengelakkan gejala rasuah. Ini bertujuan memelihara kesucian agama Islam.

Selain sifat tegas dan berani Saidina Umar r.a. dalam menegakkan syiar Islam, beliau juga terkenal sebagai seorang pemimpin yang zuhud dan juga menjaga kebajikan rakyatnya. Pada malam hari, beliau akan meronda kawasan pemerintahannya bagi memastikan tiada rakyatnya yang kesusahan. Malah pernah diceritakan bahawa beliau sendiri yang memasakkan makanan dan menjaga anak seorang wanita yang dalam kesusahan.

Sifat ambil berat dan kepimpinan yang ditonjolkan beliau seharusnya dicontohi pemimpin-pemimpin Muslim masa kini. Walaupun menjadi seorang pemimpin, beliau tidak lupa akan tanggungjawabnya menjaga kepentingan rakyat dan sanggup mendengar teguran dari rakyatnya sendiri.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!