Sakit suatu kemuliaan

Kehidupan Hanita Hassan 26-Okt-2020
dreamstime_s_184755815
Sakit suatu kemuliaan © Airdone | Dreamstime.com

Sakit adalah ujian daripada Allah SWT untuk memberitahu bahawa kita tidak punya pilihan kecuali meminta dan berharap kepada-Nya.  Sewaktu sakit, tiada pakar atau ubat-ubatan yang mampu memberi penyembuhan kecuali dengan izin Allah.

Ujian sakit adalah asbab untuk membersihkan dosa dan mengangkat nilai diri ke tingkat yang lebih tinggi. Ia juga sebagai isyarat kepada kita bahawa nikmat sihat itu begitu berharga melebihi harta benda dan kesenangan di dunia.

Sakit itu nikmat iaitu hidayah Allah SWT

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidak ada seorang Muslim pun tertusuk duri, atau yang lebih berat daripada itu, melainkan ditulis untuknya satu darjat dan dihapus daripadanya satu kesalahan.”

(Hadis riwayat Muslim, 2572)

Ramai dalam kalangan kita, apabila ditimpa sakit menganggap itu sebagai musibah. Sakit itu sebenarnya nikmat iaitu hidayah Allah SWT. Ketika sakit, baharulah kita sedar akan kenikmatan dunia telah dibawa pergi.

Badan lemah dan bisa-bisa, tekak kurang selera makan, badan tidak cukup kuat untuk  mengerjakan ibadah fardu dan sunat malahan setiap kali mahu melelapkan mata, tidak boleh lena.

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah berkata: “Musibah kesakitan yang engkau terima itu lebih baik bagimu berbanding dengan nikmat kesihatan yang membuatmu lupa untuk berzikir mengingati-Nya.”

Jika disingkap kisah yang berlaku kepada Nabi Ayyub a.s yang diuji dengan sakit yang kronik, namun Baginda tetap bersabar mengharapkan pahala daripada Allah SWT. Berzikir siang dan malam, pagi mahupun petang. Diceritakan oleh Ibnu Kathir dalam kitabnya Qasas al-Anbiya.

Para ulama tafsir, sejarawan dan lainnya berkata: Nabi Ayyub a.s adalah pemilik harta melimpah dibandingkan dengan orang yang semisal dengannya.  Antaranya binatang ternakan, hamba sahaya dan tanah yang luas di al-Tsaniyah di daerah Huran. Ibnu Asakir menceritakan bahawa tanah itu semuanya milik Nabi Ayyub. Baginda juga memiliki ramai anak dan isteri.

Nabi Ayyub a.s menghadapi ujian

Para ulama berbeza pendapat tentang lama masa Nabi Ayyub a.s. Wahab berpendapat beliau diuji selama tiga tahun. Anas berkata beliau diuji selama tujuh tahun satu bulan, dibuang di tempat sampah Bani Israel. Cairan-cairan mulai meleleh pada tubuh dan kemudian Allah SWT memberi kelapangan bagi dirinya, melipatganda pahala serta memujinya.

Humaidi pula berkata:  Nabi Ayyub a.s menjalani ujian tersebut selama 18 tahun. Al-Suddi berkata: Dagingnya mulai berjatuhan sehingga tidak tersisa sedikit pun selain tulang dan urat. Isterinya sentiasa menabur abu sebagai alas tidurnya.

Sesungguhnya kita adalah milik Allah SWT dan kepada-Nya jua kita akan kembali. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Manusia yang paling berat ujiannya adalah para Nabi, lalu orang-orang soleh dan seterusnya.”

(HR al-Nasa’ie, 7440 dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman, 9776)

Baginda SAW juga bersabda yang bermaksud:

“Seseorang diuji sesuai dengan kadar keagamaannya. Apabila agamanya sedang kuat, maka ujiannya akan ditambah.”

(HR Ahmad, 1481)

Kisah Nabi Ayyub a.s ini membuktikan bahawa dunia ini adalah ladang akhirat.  Dugaan akan sentiasa hadir dan kita bersabar serta bersungguh-sungguh menunaikan hak Allah SWT, teguh keimanan ketika diuji.

Seorang hamba yang bersabar dengan musibah maka akan diampuni dosanya, apatah lagi dosa seseorang yang memohon keampunan Allah SWT. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun.