Buletin SalamWebToday
Daftar untuk mendapatkan artikel SalamWeb Today setiap minggu!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Salah satu kelebihan sukan memanah ialah memupuk sabar diri

Acara 13 Jan 2021
Pilihan oleh Md Wa'iz
Salah satu kelebihan sukan memanah ialah memupuk sabar diri
Salah satu kelebihan sukan memanah ialah memupuk sabar diri © Lenutaidi | Dreamstime.com

Sukan memanah adalah antara salah satu sukan sunah yang digalakkan dalam Islam. Ia ternyata mempunyai kelebihan yang tersendiri yang mungkin kita tidak pernah sedar.

Apakah kelebihan sukan memanah terhadap tubuh badan kita?

Sukan memanah sukan sunah

Dalam Islam, sukan memanah adalah salah satu sukan yang dianggap sebagai sukan sunah. Malah, Nabi Muhammad SAW sendiri pernah menggalakkan kaum di zamannya untuk berlatih memanah.

Daripada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Salamah bin Al-Akwa’ r.a ada menyatakan dengan maksud berikut:

“Nabi SAW telah berjalan di hadapan sekumpulan daripada suku Aslam yang sedang berlumba (dalam menunjukkan kemahiran memanah)”. Maka Nabi SAW bersabda: “Panahlah, wahai bani Ismail kerana sesungguhnya nenek moyang kamu adalah ahli dalam memanah maka panahlah.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Kelebihan memanah terhadap tubuh

Memanah dikategorikan sebagai sebuah sukan, dan pastinya ia memberikan manfaat kepada kita. Antara manfaat atau kelebihan memanah ialah:

Meningkatkan koordinasi tangan dan mata

Antara manfaat utama memanah ialah ia membantu meningkatkan koordinasi antara tangan dan juga mata. Memanah akan melatih tangan kita untuk membuat sasaran berdasarkan maklum balas daripada mata.

Apabila kita sering berlatih memanah, koordinasi antara tangan dan juga mata ini akan menjadi semakin baik. Semakin baik koordinasi yang diperoleh, maka semakin baik jugalah sasaran yang akan dilakukan kelak.

Menguatkan fizikal tubuh badan

Semasa anda berlatih memanah, bukan hanya mata atau tangan sahaja yang terlibat. Tetapi hampir kesemua anggota tubuh badan anda turut berperanan.

Namun, bahagian tubuh seperti tangan, lengan, dada dan juga bahu adalah anggota yang paling banyak digunakan. Ketegangan otot pada tubuh badan anda juga akan dikekalkan atau dikakukan untuk beberapa saat sebelum tali panahan dilepaskan.

Apabila anda kerap berlatih seperti ini, segala otot tubuh anda akan menjadi lebih kuat.

Memupuk kesabaran dalam diri

Jika anda merupakan seorang yang kurang bersabar sebelum ini, mungkin sukan memanah boleh membantu anda mengatasi masalah itu. Sukan memanah agak mudah untuk dipelajari tetapi agak sukar untuk mendapatkan kesempurnaan.

Kesabaran amat diperlukan oleh seseorang ketika berlatih memanah. Ini kerana, sukan ini tidak memerlukan kepantasan seperti sukan-sukan lain, tetapi memerlukan ketepatan.

Untuk mendapatkan ketepatan dan kesempurnaan panahan, pastinya ia tidak boleh diperoleh dalam masa sehari sahaja. Anda semestinya perlu kerap berlatih. Apabila anda kerap berlatih sukan ini, ia secara tidak langsung akan memupuk kesabaran dalam diri anda.

Teruskan bersukan untuk kesihatan jangka panjang

Bersukan tidak tertakluk kepada sesuatu jenis sukan semata-mata. Jika anda tidak berkemampuan untuk memanah, anda boleh melakukan sukan-sukan kegemaran anda yang lain.

Yang paling afdal untuk dilakukan ialah terus bersukan dan beriadah, dan bukannya hanya duduk di rumah setiap hari dengan kehidupan yang tidak aktif. Kehidupan yang aktif melalui sukan semestinya menyihatkan tubuh badan anda.