Salahuddin al-Ayubi atau Saladin (1)

Dunia Abi Aasim 17-Ogo-2020
Tugu Saladin di Damascus, Syria © Grandbrothers | Dreamstime.com

Nama sebenar Salahuddin al-Ayubi adalah Salahuddin Yusof bin Ayub yang dikenali sebagai Saladin. Beliau merupakan anak kepada gabenor Wilayah Baalbek iaitu Najmuddin Ayub Bin Sadhi.

Salahuddin dilahirkan pada 532 Hijrah bersamaan  1,138 Masihi di Kota Tikrit Iran, Tebing Barat Sugai Tigris yang terletak antara Mosul dan Baghdad. Beliau meninggal dunia pada bulan Safar 589 Hijrah (1193 Masihi) ketika berusia 55 tahun.

Salahuddin al-Ayubi dan peperangan

Ketika usianya menjangkau 17 tahun, Salahuddin al-Ayubi telah berkhidmat dengan Nuruddin di Damsyik. Beliau adalah seorang panglima tentera yang sangat digeruni oleh musuh.

Beliau telah terlibat dalam peperangan Salib di Mesir, Palestin dan juga Syria. Pada tahun 559 Hijrah bersamaan 1,164 masihi, Salahuddin al-Ayubi bersama Assaddin Shirkuh telah dihantar oleh Nuruddin untuk menentang tentera salib di Mesir.

Selepas kematian Assaddin Shirkuh, Nuruddin telah melantik Salahuddin al-Ayubi untuk menggantikan tempat Assaddin Shirkuh. Pada masa yang sama, Salahuddin al-Ayubi telah dilantik menjadi panglima angkatan tentera Syria pada ketika itu. Salahuddin banyak menghabiskan masanya di khemah perang.

Selain panglima perang, Salahuddin al-Ayubi adalah seorang pendakwah, mujahid dan seorang tokoh pemimpin. Ketika berada di medan perang, Salahuddin al-Ayubi akan bergerak daripada hujung medan ke hujung medan yang lain untuk mengingatkan kepada tenteranya supaya benar-benar berjihad ke jalan Allah SWT.

Membebaskan Baitulmaqdis daripada cengkaman Kristian

Salahuddin al-Ayubi telah berjaya membebaskan Baitulmaqdis daripada cengkaman Kristian. Beliau telah berhadapan dengan raja Baitulmaqdis dengan hanya 150 orang tentera sahaja pada ketika itu. Salahuddin telah memancung kepala Raynald kerana sikapnya yang biadab terhadap Nabi Muhammad SAW dan juga umat Islam.

Bagi mengekalkan kesucian Baitulmaqdis, Salahuddin al-Ayubi telah menandatangani perjanjian dengan orang Kristian. Dalam perjanjian tersebut, tentera salib dikehendaki keluar daripda Baitulmaqdis dalam tempoh 14 hari.

Meskipun tentera Islam telah berjaya mendapatkan Baitulmaqdis, namun Salahuddin al-Ayubi telah mengamalkan dasar tolak ansur dengan memberikan kelonggaran kepada orang Kristian untuk mengunjungi Baitulmaqdis dan beribadat di sana.

Begitulah serba sedikit sejarah hidup Salahuddin al-Ayubi. Untuk mengetahui sumbangan-sumbangan Salahuddin al-Ayubi yang seterusnya, kita bertemu pada bahagian kedua.