Salahuddin al-Ayubi atau Saladin (2)

Dunia Abi Aasim 21-Ogo-2020
Masjid Mohamed Ali dalam Kubu Saladin (Cairo Citadel) di Kaherah, Mesir © Demerzel21 | Dreamstime.com

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan

Bahagian pertama kisah Salahuddin al-Ayubi telah mengisahkan tentang latar belakang dan kepimpinan beliau.

Bahagian kedua ini pula akan memperihalkan sumbangan-sumbangan yang telah dilakukan oleh Salahuddin al-Ayubi ketika sepanjang hayatnya.

Memulihkan dan membangunkan negara

Salahuddin al-Ayubi telah memberikan tumpuan kepada benteng  pertahanan di sempadan Kaherah untuk memastikan tiada sebarang pencerobohan musuh yang tidak diingini. Beliau telah mengarahkan  pembinaan Kubu Qal’al al jabal yang terletaknya di atas bukit. Ini adalah bertujuan untuk membendung dan mengawal  saki baki musuh yang masih ada di Kota Kaherah pada ketika itu. Hospital juga telah ditubuhkan yang dinamakan sebagai Bimaristan Al-Atiq bagi tujuan perubatan.

Aspek pendidikan

Salahuddin al-Ayubi telah membina banyak sekolah dan memberikan pendidikan kepada anak-anak. Beliau juga telah menjemput para ulama dan golongan cendekiawan untuk datang ke negaranya ketika itu. Pendidikan prasekolah telah diperkenalkan oleh beliau telah dikenali sebagai alkhatib.

Masjid Al-Azhar adalah salah satu masjid yang telah dijadikan sebagai pusat pembelajaran penting untuk mendalami ilmu keagamaan seperti ilmu tafsir. Salahuddin al-Ayubi telah membiayai kos guru-guru yang mengajar di sekolah serta mewakafkan 32 buah kedai buku untuk dijadikan tempat persekolahan.

Aspek ekonomi

Segala sumber pendapatan yang diperolehi adalah salah satunya daripada hasil  fidyah di mana ianya dibayar oleh tawanan perang. Selain daripada fidyah, hasil lain yang diperoleh adalah melalui Kharaj iaitu cukai tanah dan juga Jizyah yang dikenakan ke atas golongan bukan islam. Bebanan cukai dari zaman Fatimiyah telah dihapuskan.

Salahuddin al-Ayubi telah menumpukan perhatian terhadap sektor pertanian dengan memberikan perhatian kepada penyediaan dan  pengurusan sistem terusan.  Melalui pengurusan terusan yang baik, hasil tanaman dan pertanian dapat ditingkatkan.

Selain daripada sektor pertanian, Salahuddin al-Ayubi juga turut memajukan sektor perdagangan di mana Mesir telah dijadikan sebuah pusat pertemuan para pedagang dari timur dan barat.

Banyak sumbangan dan jasa yang telah diberikan oleh Salahuddin al-Ayubi. Selain itu sikap beliau yang melayan musuh dan orang bukan Islam dengan baik dan adil seharusnya dicontohi oleh pemimpin-pemimpin masa kini. Sikap dan ketokohannnya membuatkan ramai yang berminat mendekati agama Islam.