Salahuddin al-Ayyubi – pahlawan, penakluk dan pemimpin Islam

dreamstime_s_170137321
Benteng Kaherah atau Benteng Saladin yang pada asalnya dibina oleh Sultan Salahuddin © Omerfares | Dreamstime.com

Islam dipenuhi dengan pahlawan lelaki dan  wanita. Mereka mengharungi kehidupan  demi kepentingan umat manusia dan pengabdian kepada Allah Yang Maha Esa, pencipta bumi dan Tuhan sekalian alam.

Begitulah uniknya Salahuddin al-Ayyubi. Beliau dilahirkan sebagai An-Nasir Salah ad-Din Yusuf ibn Ayyub di kota Tikrit di wilayah yang kini dikenali sebagai Iraq. Salahuddin al Ayyubi (juga dikenali sebagai Salah ad-Din atau Saladin) merupakan seorang pemimpin Islam yang terkenal dan seorang ahli strategis ketenteraan.

Sultan Islam pertama di Syria dan Mesir

Sebagai sultan Islam pertama di Syria dan Mesir, Sultan Salahuddin telah menghabiskan sebahagian besar hidupnya berjuang demi Islam. Semasa puncak kekuasaan dan kewibawaannya, beliau dianggap sebagai pemimpin semua umat Islam. Kekuasaannya meliputi banyak negara seperti Yaman, Syria, Mesir, Hijaz, Mesopotamia Utara bahkan beberapa bahagian di Afrika Utara.

Nama beliau bermaksud ‘kebenaran iman’, Yusuf anak Ayub. Daripada semua umat Islam yang terdapat dalam sejarah, Salahuddin kekal sebagai salah seorang pahlawan paling popular dalam Islam.

Salahuddin dikenali dengan jumlah penaklukan yang banyak, namun, yang paling berkesan daripada semua peristiwa adalah semasa perang melawan Tentara Salib.  Allah SWT memberinya kejayaan  luar biasa apabila beliau dapat menawan Jerusalem pada tahun 1187 setelah ditakluki oleh orang bukan Islam selama hampir 90 tahun.

Salahuddin telah diperkenalkan dalam peperangan di awal era kehidupannya. Pada usia 31 tahun, beliau adalah komandan pasukan Syria yang berpusat di Mesir. Beliau juga adalah wazir (Perdana Menteri) kepada khalifah pada masa itu.

Seorang lelaki yang bercita-cita tinggi, Salahuddin tidak berhenti memainkan perananannya dan seiring waktu, beliau mengumpulkan kekuatan dan berjaya menyatukan umat Islam di Palestin, Syria, Mesopotamia Utara dan Mesir.

Dalam kebangkitannya menjadi lebih berkuasa, Salahuddin tidak pernah lupa bahawa segala kekuatan dan kekuasaan mutlak hanya milik Allah SWT sahaja. Oleh itu, beliau berusaha memperbaiki diri sehingga terkenal di seluruh dunia sebagai  pemimpin yang bukan sahaja baik, tegas, pemurah, jujur, malahan penyayang.

Pemimpin dan penakluk istimewa

Sultan Salahuddin merupakan seorang pemimpin tentera dan penguasa Muslim yang berbeza di mana semua yang beliau lakukan adalah semata-mata demi Islam. Baginya, peperangan  bukan sekadar pertempuran kegemilangan peribadi tetapi jihad kerana Allah SWT dan agama Islam.

Baginya, menyebarkan dakwah Islam adalah tanggungjawab yang bersungguh-sungguh dan suci. Salahuddin bekerja dengan para sarjana dan ulama Muslim, mendirikan kolej dan membina masjid  dan mendorong para ulama  melaksana kerja-kerja jihad.

Salahuddin menunjukkan ihsan dengan kebaikan kepada orang Kristian, bukan membalas dendam ketika mereka cuba merebut kembali Jerusalem. Allah SWT telah membalas usaha beliau dengan serangkaian penaklukan.

Dalam Pertempuran Hattin (Battle of the Hattin) pada 4 July 1187, beliau telah beroleh kemenangan. Salahuddin seterusnya berjaya menakluki Syria, melancarkan penaklukan terhadap Yaman, menakluki Mesopotamia Utara, dan memperluas semua wilayah ini di bawah panji-panji Islam.

Dalam semua perkara yang dilakukan Salahuddin, beliau tidak pernah gagal untuk mengucapkan terima kasih kepada Allah SWT. Beliau sentiasa bersyukur atas setiap kejayaannya.

Kisah Sultan Salahuddin menggambarkan kepada umat Islam bahawa barangsiapa yang meletakkan niat dan kepercayaan semata-mata kepada Allah SWT, tidak akan mendapat apa-apa kecuali keuntungan di dunia dan di Akhirat.