Saling berbaik sesama jiran tetangga

Sahsiah Adea Ghafar 23-Apr-2020
Anak jiran bermain bersama © Tiam Seong Yew | Dreamstime.com

Sebagai umat Islam, kita harus selalu memikirkan dan meneliti perlakuan kita sesama jiran tetangga. Sebuah hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah (RA) bahawa Nabi Muhammad (SAW) yang kita sayangi bersabda:

“…sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah dia menghormati tetangganya dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tamunya.” (Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis ini, kita faham bahawa adalah diharuskan untuk kita berhubung dan melayan jiran dengan baik dan tidak melakukan perkara yang akan mengganggu mereka atau menyebabkan mereka tidak menyukai kita. Sebagai contoh, kita patut prihatin mengenai tahap kebisingan pada waktu malam, atau menjaga kebersihan di luar rumah kita.

Kita juga harus bersikap peramah dan saling mengalu-alukan agar jiran kita maklum bahawa kita sudi membantu mereka sekiranya mereka perlukan pertolongan. Daripada hanya keluar masuk rumah tanpa menegur jiran, ada baiknya jika kita berbual pendek apabila berselisih di luar untuk menunjukkan yang kita ambil peduli dan bersifat terbuka.

Kita harus ingat bahawa ketika seseorang mengalami hari yang tidak begitu menggembirakan, percakapan yang positif mungkin dapat menghiburkan dan menolong mereka merasa lebih gembira. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar dan Aishah (RA) memetik sabda Nabi Muhammad (SAW):

“Jibril (AS) sentiasa memesan kepada aku supaya berbaik-baik dengan jiran hingga aku menyangka bahawa Jibril akan menetapkan hukum pusaka antara sesama jiran.” (Bukhari dan Muslim)

Apabila ada kemungkinan kita terdengar atau dapat tahu mengenai perkara-perkara negatif mengenai kehidupan mereka,  adalah menjadi kewajiban bagi kita sebagai umat Islam untuk tidak berkongsi perkara yang kita dengar atau lihat – kita harus menghormati rahsia jiran kita. Kita harus melayan jiran kita seperti mana yang kita mahu mereka memperlakukan kita.

Seterusnya, berkongsi makanan dengan jiran juga adalah idea yang baik. Mungkin kita ada menyediakan makanan yang enak untuk majlis khas seperti Hari Raya Aidil Fitri atau hari ulang tahun. Pada majlis-majlis begini, ingatlah untuk berkongsi sebahagian makanan tersebut bersama jiran – ini adalah cara yang baik untuk menjaga hubungan mesra dan menunjukkan keikhlasan hati kepada mereka.

Sebagai umat Islam, kita harus sentiasa bersikap baik dan ramah dengan orang lain, termasuk jiran tetangga kita. Semoga kita dapat mengambil iktibar daripada perintah Allah (SWT) sebagaimana firman-Nya dalam Al-Quran, surah An-Nisaa (4), ayat 36 yang berbunyi:

“Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.”